NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"13 Mei: Biar Jadi Iktibar, Jangan Dibakar"


Oleh:YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
15 Mei 2019 | 10 Ramadan 1440

SEMALAM kata pujangga, adalah sejarah dan hari ini merupakan realiti, manakala esok suatu masa depan. Sengaja saya membiarkan kelmarin, 13 Mei 2019 itu berlalu menjadi sejarah dan berdiri pada realiti hari ini untuk 'terus mara' ke depan. Lebih-lebih lagi apabila menyebut 13 Mei, ada peristiwa yang kuat menjadi stigma di benak fikiran dan rasa tercedera di hati, walaupun saya sendiri belum lahir ketika itu.

Tetapi kisahnya diketahui dan hadir membayangi sebahagian ingatan dan iktibar dalam diri, bahkan juga ramai orang lain. Semahunya kita melupakan, malah kelmarin, ia sudah 50 tahun jauh berlalu pergi menjadi sejarah. Tetapi, walaupun kita mahu meninggalkannya, di masa depan tarikh 13 Mei akan tetap menjelma. Kita hanya mampu berusaha memastikan peristiwa yang menjadi tragedi tidak lagi berulang.

Namun, pasca PRU14 yang bertitik mula pada tarikh 9 Mei 2018 yakni setahun lalu, telah merobek parut lama 13 Mei 1969. Sensitiviti kaum dan agama menjadi perkara paling awal diusik sentuh oleh pihak yang baharu mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas 60 tahun, yakni PH. Di mana LGBT, Liberal dan Syiah diberi kedudukan, JAKIM digesa mansuh, bukan Islam menjawat kedudukan penting, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dihina.

Menteri guna bahasa ibunda dalam kenyataan rasmi, iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tuntut perjuangan Komunis masuki buku teks sekolah, institusi pendidikan Cina diberi kewangan lebih banyak, sedangkan belanjawan kepada golongan pesawah, peladang, nelayan dan penternak dikurang dan dimansuhkan, peruntukan-peruntukan Perlembagaan dicabar dan mahu dipinda, penjawat awam terbunuh, dan banyak lagi jika mahu disenaraikan.

Tetapi asasnya ialah PH sedang menyemarakkan perasaan atau sentimen suatu kaum dan agama dengan memperkuatkan atau melebihkan di satu pihak. Tetapi memprovokasi di satu pihak dengan pertikaian, gugatan dan ancaman terhadap hak yang telah sedia termeterai menjadi tonggak penting negara ini. Ianya sikap berani luar biasa yang dilihat memiliki unsur diskriminasi tetapi dicantikkan atas nama ‘kesaksamaan’ kononnya.

Malah, semua terjadi itu hampir menyamai segala peristiwa yang membawa kepada tragedi 13 Mei 1969. Antaranya PH dilihat terus mahu memperkukuhkan pendidikan berasaskan kaum; memerintah negara secara pecah dan perintah apabila Menteri atau Timbalan Menteri dilihat berkuasa terhadap portfolio atau kedudukannya seakan mengatasi Menteri, bahkan Perdana Menteri sendiri.

Penjawat awam termasuk pasukan keselamatan dipertikaikan Menteri hingga bukan sahaja dilihat berlaku perseteruan antara Eksekutif dan pelaksana, malah rusuhan kaum yang mengorbankan Pegawai Bomba. Sikap sibuk, biadab, celupar dan lantang secara kurang ajar semakin menjadi-jadi apabila tonggak-tonggak negara dihina hingga turut mengheret penghinaan ke atas Rasulullah S.A.W dengan begitu terbuka.

Semua itu mengulangi ‘perayaan’ dibuat DAP dan GERAKAN yang memenangi pilihan raya ‘menjatuhkan’ PERIKATAN dahulu. Juga banyaknya provokasi termasuk kata-kata hasutan seperti ejekan “Matilah orang Melayu” (“Malai si”), termasuk terbunuhnya orang Melayu dalam rusuhan kaum. Bukti ini masih boleh dilihat dalam laporan kertas putih Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Soalnya kini, apakah PH mahu biarkan ia menjadi sejarah yang ‘bersemadi aman’ dan diiktibarkan, atau sedang mencipta cetusan-cetusan di masa depan?

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

http://harakahdaily.net.my/index.php/berita/11062-13-mei-biar-jadi-iktibar-jangan-dibakar

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo