Setiausaha Agung Umno (3 dari kanan), MB Kelantan Ahmad Yakob (3 dari kanan) dan beberapa pemimpin BN lain bergabung dalam program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku, malam tadi. |
SEREMBAN: MCA memberi keyakinan kepada pengundi Cina agar tidak takut kepada PAS termasuk kerjasama parti Islam itu dengan Umno.
Naib Presiden MCA Ti Lian Ker berkata semua persepsi buruk mengenai kerjasama tersebut hanya dimainkan pemimpin DAP.
"Saya menyeru kepada masyarakat Cina jangan terus diracuni pemikiran mereka bahawa PAS haruslah ditakuti atau pemimpin Umno akan menekan masyarakat Cina.
"Ini semua dimomokkan oleh DAP semata-mata," katanya ketika berucap di program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob; Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa; Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran dan barisan pimpinan komponen Barisan Nasional.
Ceramah itu menyaksikan pertama kali pimpinan utama komponen BN dan PAS berada 1 pentas berdepan PH selepas puluhan tahun menjadi seteru politik.
Mengakui MCA mempunyai perbezaan dengan PAS dan Umno, Ti berkata, parti itu mempunyai pendekatan sendiri untuk bekerjasama.
"Kita ada cara dan pendekatan yang kita pegang. Inilah budaya politik majmuk BN," katanya.
Kenyataan, Ti disokong Thanenthiran sambil memaklumkan beliau pernah dijemput menyertai program anjuran kerajaan PAS Kelantan dibawah pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2007, mengatakan layanan yang diberikan cukup baik.
"Dulu sebelum betul-betul kenal PAS, kami ingat mereka ini ekstrem, tapi bila kenal jauh sama sekali, mereka hormat kepada bukan Islam," katanya.
Jemput MCA ceramah di Kelantan
Sementara itu, Ahmad ketika berucap membuat jemputan terbuka kepada Ti untuk berceramah kepada penyokong PAS di Kelantan.
"Saya jemput beliau datang ke Kelantan untuk beri ceramah kepada penyokong PAS dan memberi gambaran perpaduan berlaku dengan baik, jangan takut," katanya.
Ahmad menambah, muafakat yang ditunjukkan pembangkang ditakuti oleh PH yang mereka sifatkan akan menghancurkan perpaduan di negara ini.
"Ini yang ditakuti, apabila muafakat antara PAS dengan Umno dan juga bersama BN, ini yang sangat menakutkan mereka PH, saya percaya PRK ini walaupun kecil tetapi sebenarnya besar.
"Apa yang berlaku ini memberi kesedaran tinggi kepada kita untuk membina perpaduan yang benar. Sebab kita menerima hakikat negara kita ada kaum Melayu, Cina dan India.
"PAS dah memerintah Kelantan selama 28 tahun dan hubungan antara kaum amat baik. Setakat ini tidak ada satu insiden yang berlaku antara agama di Kelantan, kita hormat antara satu sama lain," katanya sambil memaklumkan orang bukan Islam di Kelantan turut dilantik menjadi penghulu.
Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/04/09/mcapengundi-cina-tak-perlu-takut-kerjasama-pas-umno/
No comments
Post a Comment