NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Individu, pihak dakwa Acap berada di Johor Bahru, tampil buat laporan polis



IPOH, 11 April (Bernama) -- Individu atau pihak tertentu yang mendakwa seorang peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 Mohammad Ashraf Hassan, yang hilang ketika menyertai larian itu sejak 23 Mac lepas, kini berada di Johor Bahru diminta untuk tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata mereka diminta untuk mengemukakan fakta serta membuktikan Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap, 29, berada di negeri berkenaan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat hari ini, pihaknya telah menerima empat laporan polis berhubung kenyataan palsu mengenai Acap yang dibuat beberapa individu di mana salah seorang pengadu merupakan anggota bomba.

"Laporan pertama dibuat pada 4 April lepas oleh pengadu berusia 38 tahun terhadap akaun Facebook menggunakan nama Putra Al-Mukmim, di mana ketika pengadu berada di kawasan Gopeng melihat 'screenshot’ status facebook daripada group aplikasi Whatsapp.

"Pengadu mendapati Putra telah menyatakan di dalam statusnya Acap telah selamat dijumpai. Tahniah pada semua yang membantu. #TEAMCOBRA”. Status yang dimuat naik itu adalah tidak benar dan pengadu merasa terkilan dengan status yang telah dimuat naik di dalam akaun Facebook tersebut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasron Nazri berkata pihaknya menerima laporan kedua dari seorang anggota bomba berumur 38 tahun yang menerima satu pesanan ringkas aplikasi Whatsapp menyatakan ada satu laman sosial Facebook atas nama Muahsetapak.com menyatakan Acap telah dijumpai oleh pasukan bomba, polis, ustaz dan tentera.

"Malangnya setelah dijumpai, beliau tidak mahu balik setelah dipujuk kerana telah berkahwin dengan jin. Pengadu yang ketika itu sedang bertugas di Kampung Pintu Padang, Gopeng membuat laporan pada 9 April lepas menafikan kenyataan viral tersebut dan berita yang diviralkan adalah tidak benar,”katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima dua lagi laporan oleh dua lelaki masing-masing berumur 62 dan 32 tahun, semalam.

"Laporan ketiga dibuat pengadu berusia 62 tahun yang ketika itu berada di rumahnya Kampung Pintu Padang, Gopeng, diberitahu bahawa ada satu rakaman suara di laman sosial Facebook milik Hafiz Amir yang menyatakan bahawa ‘Orang Kampung yang menyorok Acap' dan pengadu telah dituduh suara tersebut adalah milik pengadu.

"Tujuan pengadu buat laporan polis adalah untuk menafikan kenyataan yang telah dibuat oleh pemilik akaun laman sosial facebook milik Hafiz Amir tersebut,”katanya sambil menambah laporan terakhir dibuat bagi menafikan tuduhan pemilik Facebook atas nama Muhammad Mamzah (Brado Kapak) yang mengatakan pihak penganjur GUT 2019 bersikap lepas tangan dalam pencarian Acap.

Sehubungan itu, Hasron Nazri berkata pihaknya telah meminta pengadu bagi laporan pertama hingga ketiga untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut manakala laporan keempat diklasifikan sebagai tiada kesalahan jenayah.

"Pihak Polis akan menjalankan siasatan dengan berlandaskan kepada fakta dan bukti. Orang ramai diminta tidak bertindak dengan menularkan sebarang maklumat atau berita berdasarkan kepada persepsi sendiri melalui media sosial.

"Sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat maklumat tersebut," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo