SUBKY LATIF 03 APRIL 2019
BEBERAPA bulan belakang ini nama Najib melonjak dalam masyarakat boleh menggerhanakan Perdana Menteri Mahathir, bahkan menyaingi kemasyhuran Brotherku Anwar Ibrahim.
Sehingga PRK Sungai Kandis Umno melarangnya turun padang bagi membantu calon Umno. Demikian tersempuk namanya pada umum selepas BN dikalahkan dan selepas dia melepaskan pimpinan Umno justeru menerima tanggungjawab atas kekalahan kerajaannya.
Selepas muncul sendirian sebagai rakyat awam, ramai yang mengerumuninya hingga dia bintang dengan gelaran bossku bila menghadirikan diri dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih. Dengan segala beban mahkamah yang dihadapinya dan tohmah berat terhadapnya semasa menjadi Perdana Menteri, dia jadi lebih popular sebagai orang biasa dari jadi Perdana Menteri.
Suaranya dalam Facebook pun sedap sesedap suara di Facebooknya menjelang jadi Perdana Menteri semula. Sehingga ini belum ada gantinya dalam Umno bagi menyaingi popularitinya. Orang mengharapkan KJ, MP Rembau boleh melonjak sesudah ketiadaannya. Setakat ini KJ belum jadi macam yang diharapkan.
Atas tiket bossku Najib pun bergerak ke negeri-negeri. Bukan main sambutan di jalan-jalan diterimanya. Orang mula merasa dia seolah-oleh hendak kembali memimpin dan berkuasa. Maka berkata dia, saya akan kembali.
Orang Umno terutama yang berbosskan dia dulu suka dia kembali. Semuanya disebabkan tiada yang menggantikannya di kalangan yang ada itu.
Mahathir sendiri terkedu bila orang jadikan Najib bossku. Katanya kira-kira, orang macam itu mereka kata bossku. Orang tak kata Mahathir bossku, tapi jolokan Najib dapat hari-hari.
Menjelang PRU14, orang tidak mahu dengar nama Najib. Sekarang setelah dilambakkan pula kes mahkamah, orang nak jadikan dia boss seolah-olah apa yang ditohmah kepadanya dulu tidak berlaku.
Memang mempesonakan, tetapi semasyhur mana pun bossku itu di mulut semua, amat tinggi risiko dan payahnya menjadkan dia MO1 – Malaysian Officer nombor 1 – semula.
Tidak dapat ditolak politik bossku itu boleh banyak membantu taawun yang PAS dan Umno sedang jalin. Ia amat berkesan untuk menyingkir PH dari Putrajaya. Orang cemas dengan PH bukan kerana Najib lebih baik tapi PH gagal beri apa yang Pakatan Harapan harap, bahkan ia tidak dapat jadi kerajaan untuk semua.
Dalam kerajaan dan PH sepuluh bulan ini, Mahathir dan Anwar tidak nampak orang berkain pelikat tapi seperti pemakai kain batik. Pelikat itu bagi orang jantan dan sang suami.
Politik baru taawun adalah untuk menegakkan masyarakat dan kerajaan bermaruah dan bersih. Jika Najib kembali payah hendak bercakap tentang kerajaan bersih dan bermaruah. Level lama akan diasak. Susah taawun hendak menjawabnya.
Tetapi peranan Najib membantu taawun ke Putrajaya adalah positif. Peranannya di luar kerajaan lebih bermakna dari kembali dalam kerajaan. Banyak benda akan timbul dan menyusahkan taawun menepis.
Maka biar Najib menyelesaikan semua kesnya. Dia belum bersalah tetapi kesnya jadikan dia bermasalah. Jika bossku di dalam masalah bossku akan jadi masalah taawun. Ia seperti memberi senjata kepada PH memukul taawun.
Jika Najib membantu taawun dari luar, ia adalah sebesar-besar sumbangan yang Najib boleh beri.
Menjelang empat tahun PRU15, taawun baik PAS dan Umno mesti berupaya mengemukakan pemimpin yang lebih handal dari Mahathir dan Anwar yang diterima rakyat. Najib boleh membantu mendapatkan pemimpin itu dari luar. Anwar dan Mahathir sudah tidak jadi pemimpin berkain pelikat yang diharapkan itu. Pemimpin yang dicari itu adalah dari taawun. – HARAKAHDAILY 3/4/2019
No comments
Post a Comment