KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Yakin pada kemampuan diri serta tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa adalah kunci untuk mencapai kejayaan.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan dalam pelajaran memerlukan komitmen dan semangat juang yang tinggi kerana ia tidak dapat dicapai dengan mudah.
Ujarnya, setiap pelajar yang melangkah ke menara gading pastinya akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan sama ada daripada luar ataupun dalam diri sendiri.
"Anak-anak akan belajar di universiti-universiti sama ada dalam atau luar negara, asas yang pertama adalah jangan merasa puas hati dengan pencapaian semasa.
"Kemudian, kita yang datang dari negeri Terengganu ini haruslah mampu untuk membuktikan bahawa kita mampu, orang lain boleh buat, kenapa kita tak boleh buat untuk mencapai kecemerlangan.
"Keyakinan pada diri masing-masing, 'self determination', 'perseverance' dan 'full commitment' adalah kata kunci yang penting dalam hidup kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ExxonMobil 2018 & Sumbangan Program-Program Pendidikan 2019 di Dewan Auditorium, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Naib Presiden & Pengarah Kewangan ExxonMobil Exploration and Production, Ernest Miller, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato' Dr. Norazah Mohd Nordin, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Rosman Roslan.
Ahmad Samsuri turut berkata, cabaran yang diharungi di alam kampus memerlukan semangat jitu dan usaha yang berterusan pada setiap masa.
"Kadang kala usaha itu perlu dilakukan berkali-kali (apabila ada halangan mengagalkan kita).
"Ini perlukan usaha berterusan, jatuh sekali kena bangun segera, jangan biar jatuh itu menyebabkan kita tak bangun," tambah beliau.
No comments
Post a Comment