oleh:Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Dalam laman blog beliau, Tun Mahathir telah memberi pandangannya mengenai kerjasama PAS dan UMNO. Beliau bernostalgia mengenai cerita politik lama, tentang naratif PAS mengkafirkan UMNO dan Amanat Haji Hadi sebagai hujah utama mengapa bagi beliau, kerjasama ini bermasalah.
Hujah kedua adalah, kerjasama PAS dan UMNO akan menghalalkan jenayah Datuk Seri Najib dan mengembalikan beliau sebagai seorang pemimpin politik semula.
Pertama, usahlah bernostlagia mengenai perkara lama. Soal sembahyang dua imam, kafir mengkafir dan pelbagai lagi tuduhan terhadap PAS adalah cerita lama yang diulang-ulang tanpa sudah. Sedangkan perkara tersebut tidak lagi berlaku dalam Malaysia pasca moden.
Nampaknya itu sahaja naratif Tun Mahathir untuk PAS. Sedarlah Tun, orang Melayu telah lama melupakan naratif tersebut. PAS telah lama menjadi parti Islam yang
'sophisticated'. Dengan slogan "Islam Untuk Semua' dan "Membangun Bersama Islam", PAS telah menjadi pergerakan politik yang dihormati. Jika tidak, masakan DAP dan PKR pernah bersekutu dengan PAS. Dan Tun sendiri, sebelum pilihanraya lepas, bermati-matian cuba mendapatkan kerjasama PAS menentang BN.
Cercaan Tun pada PAS telah membuakkan rasa tidak senang pelbagai pihak kerana ia sangat merugikan umat Melayu - Islam khususnya. Sifat tertutup, dan tidak besar hati pimpinan Tun telah memecah belahkan umat Melayu dalam pelbagai kelompok selama ini.
Kedua, sudah tiba masanya untuk Tun duduk dan merenung situasi politik sekarang. Janganlah nama Najib menjadi ratib zikir Tun pada usia sebegini. Naratif '1MDB' 'kecurian' mahupun 'kleptokrasi' sudah muak didengari rakyat, tatkala kos sara hidup, gaji, perumahan kos rendah dan insentif-insentif pro-kebajikan untuk mereka samada tidak beransur naik, sudah dihapuskan atau berkurangan.
Ya, awam akui tindakan mahkamah telah dimulakan. Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan sistem kehakiman untuk menentukannya. Sehingga sesuatu itu terbukti salah, maka kita tidak boleh sepenuhnya menghukum secara total. Bukankah itu 'rule of law' yang Tun selalu pekikkan?
Sudah wujud naratif baru yang sedang menggantikan 'kleptokrasi', Iaitu kerajaan 'kakistokrasi' pimpinan Tun M yang merugikan rakyat marginal dan menguntungkan kroni kapitalis semata-mata.
Kerjasama UMNO PAS demi watan akan menjadi ketumbukan politik yang bakal mengubah lanskap berpolitik dan bernegara. Ia akan menyatukan orang Melayu pada tahap yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.
Ingatlah peringatan Allah, "Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan melakukan kebaikan". UMNO dan PAS tidak ingin lagi membuang masa dengan bercakaran tanpa henti. Telah tiba masanya melakukan kebaikan dan amal soleh untuk bangsa dan tanahair melalui kerjasama politik.
Akhirnya Tun, urusan kerjasama UMNO dan PAS adalah urusan kami. Biarkanlah kami mengurusnya. Sama ada ia akan berjaya atau sebaliknya, terpulang lah kepada ikhtiar kami. Kami doakan yang terbaik jua untuk Tun dengan jalan bersama DAP yang telah Tun pilih dan dukung.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ialah Naib Presiden UMNO
No comments
Post a Comment