NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Stres melampau punca dera anak


IBU bapa sepatutnya menjadi contoh dan pelindung kepada anak-anak yang sangat lemah fizikal dan emosi.

Tetapi siapa sangka kehidupan di rumah umpama neraka bagi mereka apabila menjadi mangsa dera ahli keluarga sendiri.

Mutakhir ini, kita menyaksikan pelbagai kes penderaan kanak-kanak dilakukan oleh ibu bapa sendiri.

Satu persatu kes tersebut dilaporkan oleh media cetak dan elektronik yang mengejutkan masyarakat apabila perbuatan itu menyebabkan kematian si anak.

Pada Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan seorang budak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai mangsa dera bapa tirinya di Kampung Batu Balik, Pekan, Pahang.

Susulan kejadian tersebut, bapa tiri kanak-kanak tersebut yang berusia 54 tahun dan ibu kandung mangsa berusia 25 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Bapa tiri mangsa mengaku pernah memukulnya dan jiran keluarga itu juga memberitahu, lelaki tersebut mempunyai sikap panas baran dan kurang bergaul dengan masyarakat.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati, terdapat pelbagai kesan lebam pada anggota badan termasuk mata lebam, bibir pecah dan kesan cucuh rokok pada tapak kakinya.

Selain itu, salah satu kes yang serupa dilaporkan pada 27 Disember tahun lalu, seorang budak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru akibat kecederaan pada abdomen selepas dipercayai didera bapa kandung dan ibu tirinya.

Punca

Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, terdapat beberapa punca terjadinya perkara ini seperti ibu bapa yang mengalami tekanan atau masalah ketagihan sehingga bertindak di luar kawalan.

"Selain itu, ia juga mungkin disebabkan oleh tekanan kos hidup sehingga melakukan dua kerja dalam masa yang sama lantas badan keletihan serta cepat emosi.

"Rumah tangga yang berantakan juga boleh mencetuskan api kemarahan dan anak-anak menjadi mangsa melepaskan geram," katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambah Kartini, kerjasama daripada masyarakat terutamanya jiran dan badan bukan kerajaan sangat penting dalam menangani masalah itu daripada berterusan.

Sementara itu, pakar psikiatri dari Universiti Teknologi Mara Specialist Centre, Sungai Buloh, Dr. Nurul Azreen Hashim memberitahu, ada dalam kalangan ibu bapa yang mendera anak mempunyai masalah psikologi seperti stres yang melampau.

"Tidak dinafikan segelintir pendera sebenarnya mempunyai penyakit mental seperti bipolar, skizofrenia, kemurungan atau ketagihan dadah.

"Berkemungkinan mereka juga merupakan mangsa dera semasa kecil ataupun didera oleh pasangan masing-masing," jelasnya.

Nasihat

Ujar Nurul Azreen, ilmu keibubapaan sangat penting agar penjaga tahu tahap perkembangan anak-anak mengikut umur dan mendisiplinkan mereka dengan cara yang betul dan bukannya menggunakan kekerasan.

Beliau turut menasihatkan agar ibu bapa mendapatkan nasihat kaunseling tentang cara pengurusan stres yang sihat serta menambah ilmu dalam mendidik anak-anak.

Bagi mereka yang mengalami gejala gangguan mental perlu dapatkan rawatan pakar psikiatri dengan segera.

Berbicara mengenai karakter pendera, Nurul Azreen berkata, individu tersebut kurang keyakinan diri, tidak mampu menangani stres dengan sihat, bersikap melulu, suka mengasingkan diri dan keluarganya daripada masyarakat serta kurang kemahiran berinteraksi dengan orang lain.

Sehubungan itu, beliau turut berkongsi cara menangi kemarahan seperti melakukan teknik pernafasan dan bertenang, bersenam dan beriadah secara sihat, berhenti sebentar sebelum bercakap atau bertindak, tinggalkan sebentar situasi tersebut, dapatkan rehat dan tidur secukupnya serta berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo