NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Serah derma Christchurch bantu etnik Uyghur: Wanita muslim NZ




CHRISTCHURCH, 21 Rejab 1440H, Khamis – Sumbangan yang mencurah-curah untuk keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di sini hampir dua minggu lalu, yang dikutip satu badan antarabangsa yang ada kaitan dengan ahli perniagaan kontroversi, Zhang Yikun, sepatutnya dipulangkan, kata pergerakan wanita Islam di sini.

Yikun yang pernah terbabit dalam skandal sumbangan Jami Lee-Ross, sebelum ini merayu kutipan derma berjumlah RM8.6 juta untuk mangsa masjid Christchurch, dalam satu majlis Cina Teochew di Auckland, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Datuk Bandar Auckland, Phil Goff menerima cek bernilai RM2 juta daripada mereka yang hadir dan diminta menyerahkannya kepada komuniti muslim Christchurch.

Jumlah itu kemudian meningkat berkali ganda apabila masyarakat Cina Teochew di seluruh dunia turut memberi sumbangan kewangan.

Namun, Rangkaian Kepemimpinan Khadija (KLN), menggesa sumbangan itu dipulangkan, atau diserahkan bagi membantu etnik muslim Uyghur yang dianiaya di wilayah Xinjiang di barat China.

Kira-kira sejuta individu muslim etnik Uyghur ditahan, dan ditempatkan di pusat tahanan serta pemulihan di wilayah itu, sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan pemantau hak asasi manusia.

KLN adalah rangkaian pertubuhan wanita muslim yang ditubuhkan 18 bulan lalu, dan mempunyai 2,000 ahli di New Zealand, Australia dan United Kingdom.

Pengasas KLN, Tayyaba Khan memberi alasan mudah kenapa sumbangan itu perlu dipulangkan.

"Kami sudah memperolehnya. Ianya sudah cukup. Jika kita tidak mahu Islamophobia di sini, kita juga tidak mahu ia berlaku di tempat lain.

"Ianya lebih menggembirakan untuk melihat komuniti Cina mengumpul wang untuk mengatasi masalah (etnik Uyghur) di China," katanya.

Setakat ini, lebih RM34.6 juta sudah dikutip menerusi laman rasmi Victim Support Givealittle, dengan pelancaran kempen kutipan 'Launch Good' sahaja memperoleh lebih RM10 juta, untuk membantu keluarga dan mereka yang terjejas akibat serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di sini, pada Jumaat dua minggu lalu.

"Ini adalah peluang bagi umat Islam New Zealand untuk menunjukkan kepimpinan," kata Tayyaba Khan.

Dalam surat kepada Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ), KLN berkata, sumbangan daripada Teochew menunjukkan sikap mereka yang sangat tulus ikhlas.

"Bagaimanapun, kami meminta wang itu tidak diberikan kepada komuniti muslim di New Zealand, sebaliknya diberi kepada etnik muslim Uyghur yang berdepan pembersihan dan penahanan di China.

"Walaupun kita faham bahawa derma itu bukanlah wang kerajaan China, kita tetap percaya bahawa dia (Zhang Yikun) mendapat bantuan komuniti, yang boleh diterima oleh orang Islam, untuk menolak Islamophobia, dan menghentikan penganiayaan terhadap umat Islam di seluruh dunia," kata KLN.

FIANZ dan Datuk Bandar Auckland bagaimanapun, belum memberi maklum balas berhubung permintaan itu.

Bagaimanapun, Pegawai Perhubungan Awam FIANZ, Anwar Ghani berkata, pihaknya sekarang ini memberi keutamaan memastikan kesejahteraan keluarga dan mangsa serangan itu.

"Perbincangan akan diadakan untuk mencari jalan terbaik bagaimana dana itu akan disalurkan," katanya.

Permintaan supaya kutipan derma Teochew itu diberi kepada etnik Uyghur dibuat susulan rancangan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, melawat China.

Tayyaba Khan berkata, sama ada sumbangan itu akan diberi kepada etnik Uyghur atau tidak, juga adalah soalan yang relevan, kerana ia membabitkan rejim politik China.

"Tetapi ia adalah penting untuk cuba melakukan sesuatu yang betul dan mengatasi Islamophobia di mana sahaja di dunia ini, bukan sahaja di New Zealand," katanya. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo