NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas diboikot, Facebook tampil beri penjelasan


WELLINGTON, 13 Rejab 1440H, Rabu – Selepas dihentam dan diboikot banyak pihak susulan insiden serangan keganasan ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand yang disiarkan secara langsung di Facebook Jumaat lalu, syarikat gergasi media sosial itu tampil membuat penjelasan.

Naib Presiden dan Penasihat Umum Facebook, Chris Sonderby dalam kenyataan berkata, tiada pengguna yang melaporkan mengenai siaran langsung insiden itu sehingga beberapa minit selepas serangan berakhir.

Katanya, video berkenaan ditonton lebih kurang 200 kali ketika siaran langsung, di mana tiada mana-mana pengguna yang bertindak melaporkannya.

Malah, Sonderby berkata, ketika siaran langsung, video insiden itu ditonton kira-kira 4,000 kali sebelum ia dibuang daripada Facebook.

Facebook membuang video itu sebaik sahaja polis New Zealand menghubungi pihaknya mengenai perkara itu, iaitu 29 minit selepas video mula disiarkan secara langsung dan 12 minit selepas ia berakhir.

Katanya, Facebook dan beberapa platform media sosial lain seperti YouTube, Twitter dan Reddit telah berusaha untuk membuang video berkaitan serangan itu.

Menurut syarikat itu, 1.5 juta video yang mempunyai unsur-unsur keganasan telah disekat untuk ditonton atau disebar di laman sosial berkenaan.

"Kami berusaha sepanjang masa untuk menghalang kandungan ini daripada muncul di laman web kami, menggunakan gabungan teknologi dan bantuan orang ramai," kata Sonderby.

Katanya, syarikat itu juga telah menghapuskan video Facebook Live asal untuk membantu mengesan dan membuang visual yang seakan-akan sama dengannya.

"Insiden itu menekankan betapa pentingnya kerjasama industri terhadap pengganas dan pelampau yang beroperasi dalam talian," katanya.

Terdahulu, beberapa syarikat ternama di New Zealand membuat keputusan untuk menarik semula iklan daripada Facebook dan Google, susulan tragedi yang meragut 50 nyawa itu.

Burger King, Lotto NZ, ASB dan Kiwibank antara syarikat yang memboikot daripada mengiklankan produk mereka, atas alasan 'bahaya' jika kandungan media sosial tidak dikawal selia.- Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo