NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penting! Kementerian gesa pesakit pulangkan 7 ubat darah tinggi ada losartan



Kenyataan ini dikeluarkan berikutan notis panggil balik oleh Health Sciences Authority (HSA), Singapura ke atas tiga (3) produk yang mengandungi losartan daripada sumber bahan aktif Hetero Labs Limited, India kerana kehadiran impuriti N-nitroso-N-methyl-4-aminobutyric acid (NMBA). Impuriti ini berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang. Tablet losartan adalah merupakan ubat yang digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi.https://kpkesihatan.com/2019/03/29/kenyataan-akhbar-kpk-29-mac-2019-produk-losartan-yang-ditarik-balik-di-singapura-serta-situasi-di-pasaran-malaysia/


IPOH, 23 Rejab 1440H, Sabtu – Pengguna yang memiliki dan masih menyimpan ubat darah tinggi dikesan mengandungi bahan aktif losartan diminta tidak panik, sebaliknya memulangkannya kepada pembekal, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, pembekal tidak boleh menjual ubat itu selepas Kementerian Kesihatan menggantung pendaftaran tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan tersebut bermula 7 Mac lepas.

"Ubat itu untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan karsinogernik, tetapi tidak ada kesan untuk jangka masa pendek. Pengguna yang sudah makan jangan panik, cuma pulangkan ubat tersebut kepada pembekal supaya boleh dapatkan gantian ubat itu untuk jenama lain.

"Sepatutnya, kalau ikut rekod tidak ada lagi ubat itu dalam simpanan dan mereka (pembekal) yang ada simpan stok lama memang kita sudah tarik balik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Perak di Meru di sini hari ini.

Tujuh produk yang digantung ialah LOSAGEN 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg); LOSAGEN 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg); Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg).

Turut digantung adalah produk Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); TOZAAR PLUS LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide); Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan memaklumkan, produk berkenaan sudah dikeluarkan daripada pasaran Malaysia kerana dikesan mengandungi losartan dengan sumber bahan aktif Hetero Labs Limited, India, yang digantung status pendaftaran di Malaysia bermula 7 Mac 2019.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan serta bekerjasama dengan agensi yang berkenaan di luar negara mengenai ubat yang dipasarkan di negara ini.

"Kita berkongsi maklumat dengan semua bahagian farmasi di negara-negara lain dan sekiranya ada sebarang ubat yang ada masalah kita akan berkongsi maklumat supaya tindakan setimpal boleh diambil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata, kementerian itu mengenal pasti lebih tiga juta golongan berumur 50 tahun dan ke atas layak menerima Skim Peduli Kesihatan B40 (PekaB40) yang akan dilancarkan bulan depan.

"Bagi peringkat awal kita memperuntukan RM100 juta untuk 800,000 peserta. Sekiranya sambutan baik kita akan menambah peruntukan untuk menampung keperluan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk menyediakan penjagaan kesihatan bagi kumpulan isi rumah B40 yang akan memberi tumpuan terhadap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti kardiovaskular, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti dan kanser.

"Kita harap sekiranya (peserta) layak untuk mendaftar (PekaB40), guna kesempatan ini untuk melakukan saringan kesihatan di klinik berdaftar secara percuma," katanya. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo