SEMBILAN bulan yang lalu Barisan Nasional (BN) dikejutkan dengan kekalahan kepada Pakatan Harapan (PH). Kehilangan majoriti di Dewan Rakyat membuatkan pemimpin BN berada di kedudukan yang agak kurang stabil.
Sama ada berpindah parti atau terus berjuang atas kepercayaan kepada sokongan akar umbi dan rakyat.
PRK DUN Semenyih sepatutnya menjadi ubat yang pahit ditelan oleh pihak Pakatan Harapan dan juga pemimpin BN yang kini bekerjasama dengan parti tersebut.
Rakyat adalah penentu dalam sistem demokrasi bukannya pemimpin yang begitu sakan berjanji itu dan ini. PRK Cameron Highlands dan Semenyih telah menjadi bukti jangan main-main dengan rakyat.
Zaman kerajaan tahu segalanya sudah lama tamat. Rakyat kini boleh menilai melalui saluran maklumat media sosial dan menjadikan media perdana sebagai rujukan terakhir.
Kempen ala samseng dan pemberian hamper serta bubur lambuk sepatutnya tidak dilakukan lagi kerana sudah terang pemberian tersebut memberi pelbagai erti. Mungkin dengan niat sedekah tetapi mengapa pada minggu kempen semata-mata.
Seorang ketua UMNO bahagian yang ditemui di Semenyih baru-baru ini berkata pihaknya hanya bermodalkan salam ikhlas dan menjadi saluran untuk rakyat mengadu masalah mereka.
Antara masalah yang disebut dan boleh disalin tampal pihak PH adalah, rakyat sedang perit dengan kenaikan kos hidup. Mereka mengadu ikan mahal, ayam murah tetapi sudah jemu anak-anak makan ayam.
Rakyat juga mengadu bila tol hendak ditutup. Ada juga bertanya mengapa pinjaman pelajaran perlu dibayar. Jawab ketua UMNO bahagian yang agak muda itu, itu manifesto PH bukan BN.
Lalu orang kampung di Semenyih itu pun mengeluarkan kata-kata kecewa. Begitulah kecewanya rakyat apabila janji tidak ditepati. Apa yang dihamburkan elok kita tidak perlu tahu.
Sebenarnya sepanjang kempen PRK DUN Semenyih berlangsung kata pemimpin muda itu lagi, mood pengundi terutama orang Melayu sememangnya menyebelahi BN.
Walaupun keputusan menunjukkan calon PH, Muhammad Aiman Zainali mendapat banyak undi namun ia mungkin daripada pengundi bukan Melayu dan Melayu yang masih ingin mempertahankan kedudukan parti mereka.
Janji untuk membina hospital yang akhirnya bertukar menjadi klinik kesihatan sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini untuk mengekalkan janji tersebut bukan melupakannya kerana Pilihan Raya Umum Ke -15 mungkin tinggal empat tahun. Bukannya lama.
Rakyat sebenarnya memberi mesej di Cameron Highlands tetapi PH masih belum benar-benar memahami keinginan rakyat agar usaha untuk memenuhi manifesto dibuat dengan penuh komitmen.
Rakyat tidak mahu drama demi drama terus disajikan oleh pihak PH hingga menenggelamkan agenda mengurangkan kos hidup mereka. Rakyat tahu pilihan raya adalah wadah terbaik untuk memastikan kerajaan dapat membantu mereka melalui dasar yang dirangka.
Mereka tidak mahu tahu daripada mana duit yang diperlukan untuk memberi subsidi mahupun geran membina sekolah mahupun masjid. Apa yang pasti janji mesti ditepati.
Dalam PRK Cameron Highlands dan DUN Semenyih segalanya telah dibuktikan. Perpaduan dalam kalangan rakyat semakin cenderung kepada BN kerana janji manifesto yang masih belum selesai.
Tarikh 2 Mac lalu sekali lagi selepas Cameron Highlands, rakyat di Semenyih sudah memberi amaran untuk janji segera ditunaikan dengan apa kos sekalipun. Jangan tunggu PRK DUN Rantau baru mesej dapat difahami.
Tunaikanlah.
No comments
Post a Comment