NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa ‘mereka’ serang Dr M secara terbuka?




oleh: Timmy Say

Pada 23 Februari 2019, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berjanji tidak akan mengganggu kerja Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Sebagai balasannya, Anwar berharap beliau juga tidak diganggu apabila tiba gilirannya menjadi perdana menteri nanti.

"Itu understanding (persefahaman) kita," katanya.

Namun, apa yang dijanjikan Anwar nampaknya tidak disepakati anak sulungnya, Nurul Izzah, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Ketika Mahathir sedang "berperang" dengan Singapura dalam soal tarif air dan sempadan yang rumit, Nurul Izzah memilih untuk menyerang Mahathir ketika ditemuramah akhbar Singapura, Straits Times.



Di dalam luahan kekecewaannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan, Nurul Izzah memberitahu akhbar Singapura itu, beliau berasa susah untuk bekerjasama dengan Mahathir yang dilabelnya "bekas diktator menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami, bahkan sistem (pemerintahan negara)".

Barangkali ada kekanda yang terlupa tulis surat kepada Nurul Izzah untuk mengingatkan beliau, Mahathir juga mempunyai jasa besar membantu PKR ke Putrajaya.

Serangan Nurul Izzah terus disusuli coretan komik politik Zunar yang menyerang cara pentadbiran Mahathir yang digambarkan didalangi Daim Zainuddin yang jauh lebih berkuasa daripada Kabinet beliau.

Ketika pimpinan PKR dan PPBM bertelagah mengenai kenyataan Nurul Izzah, tiba-tiba muncul kenyataan PH ditandatangani 4 "setiausaha agung PH" dan "ketua sekretariat PH" yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Mahathir sebagai pengerusi PH.

Niat kenyataan itu sangat murni, di mana ia cuba mengekalkan imej PH sebagai gabungan yang utuh di belakang Mahathir, meskipun ada suara sumbang seperti Nurul Izzah.

Malangnya, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail tampil menyatakan kenyataan itu palsu dan berkata, beliau ada menghubungi setiausaha agung PH untuk pengesahan kenyataan tersebut sememangnya palsu.

Jika begitu, mengapa 4 setiausaha agung PH dan ketua sekretariat PH tidak mengeluarkan kenyataan bersama untuk menafikan kenyataan yang tular itu? Kalau ianya palsu, apakah benar sudah ada parti di dalam PH yang tidak menyokong Mahathir?

Melihat kerenah ini, Mahathir membalas Nurul Izzah dengan nada kecewa.

"Tak apalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan mereka," katanya tanpa menjelaskan siapa "mereka" yang dimaksudkannya.

Serangan Nurul Izzah mendedahkan Mahathir kini dikacau dalam kerjanya sebagai perdana menteri. Selain bertungkus-lumus memikirkan cara untuk memulihkan ekonomi, Mahathir pada usia 93 tahun terpaksa meluangkan masa menangani politik dalaman.

Dari sudut positif, serangan Nurul Izzah ini membolehkan Mahathir melihat dengan jelas siapa sekutu, siapa lawan dan siapa yang tergolong dalam kumpulan paling menakutkan, iaitu sekutu yang berpura-pura dan bakal membelotnya kerana mereka sudah dijanjikan jawatan atau dikekalkan jawatan di bawah perdana menteri baru.

Ia juga membolehkan Mahathir menggunakan taktik pecah dan perintah dengan sebaik mungkin terhadap parti yang menyerangnya.

Lihat saja perbalahan di dalam PKR kerana kenyataan Nurul Izzah, sudah pasti persepsi yang timbul ialah parti itu sudah berpecah di antara pilihan untuk menyokong Mahathir mahupun Anwar.

Persoalannya, apa yang menyebabkan "mereka" yang dimaksudkan Mahathir begitu tidak sabar sehingga perlu menyerang beliau secara terbuka?

Apakah kerana Mahathir mengekalkan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara puncanya? Apakah kerana Mahathir menerima bekas ahli Parlimen Umno?

Apakah kerana Mahathir masih menggilai kereta buatan Malaysia dalam projek kereta nasional ke-3 dan kereta terbang? Apakah kerana Mahathir melantik Daim sebagai pakar rundingan semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan China dan bukannya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng?

Apakah ia kerana Mahathir kembali menjadi diktator atau ada orang hilang sabar kerana kekurangan bilangan ahli Parlimen diperlukan?

Barangkali juga serangan terhadap Mahathir hanyalah satu taktik untuk mematikan langkah seterusnya yang dirancang berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Rantau pada 13 April nanti kerana keputusan PRK itu bakal mengubah nasib Mahathir, Anwar dan Najib Razak seperti dinyatakan di sini. https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2019/03/18/debaran-di-prk-rantau/

Ya, segalanya mungkin. Tetapi, apa yang pasti, akhirnya rakyat yang akan rugi.

Ini kerana Mahathir kini dikacau dan beliau terpaksa menghabiskan masa berpolitik untuk menangkis serangan dalaman berbanding mentadbir negara yang sedang bergelut dengan kos sara hidup melambung tinggi yang memeritkan rakyat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo