MARANG, 22 Mac - Seramai 4.79 juta pelancong berkunjung ke Terengganu tahun lalu berbanding 4.8 juta orang tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, kehadiran pelancong tahun lalu kurang sedikit jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya yang berjumlah 4.8 juta orang.
"Kekurangan dikira 0.1 peratus sahaja, tidak banyak dan kajian kedatangan pelancong dibuat dari Januari sehingga Disember setiap tahun.
"Kita (kerajaan negeri) buat kajian dari setahun ke setahun dan angka itu tidak diambil kira jumlah pelancong yang menginap di 'homestay' atapun rumah tumpangan yang cukup banyak di negeri Terengganu, " katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Gotong Royong Membuat Laksa Tradisional Terengganu anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pak Madah, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, jika dikira jumlah penginapan pelancong di homestay dan rumah tumpangan, kedatangan pelancong ke Terengganu dipercayai melebihi 4.8 juta orang tahun lalu.
"Dalam kajian kerajaan, kekurangan kedatangan pelancong berlaku dalam bulan Januari dan Februari kerana dalam bulan-bulan berkenaan, pulau peranginan ditutup, tidak dibenar kepada sesiapa pun menjalankan aktiviti pelancongan akibat musim tengkujuh melanda Terengganu setiap tahun," jelasnya.
Bagaimanapun katanya, mulai bulan Mac tahun ini, sempena cuti sekolah, tempahan tempat penginapan secara dalam talian agak membanggakan berbanding tahun lepas.
"Bulan April tahun lepas kehadiran pelancong ke Terengganu berkurangan kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 bermula," jelasnya.
Menyentuh soal pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, katanya, peruntukan untuk pembangunan pelancongan di Pulau Bayas dan Pulau Poh diluluskan dengan bajet RM30 juta daripada kerajaan negeri.
"Kita ada bajet tambahan RM2 juta lagi untuk pembangunan tempat-tempat pelancongan keseluruhannya dan kita akan guna sepenuhnya peruntukan tersebut," ujarnya.
No comments
Post a Comment