oleh: Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
25 Mac 2019
Ramai yang bertanya, bila Tabung Haji akan mengumumkan Hibah (dividen) bagi tahun 2018.
Kebiasaannya kadar hibah atau dividen bagi sesuatu tahun akan diisytiharkan dalam tempoh dua bulan setelah akaun ditutup, ataupun paling lewat tiga bulan.
Terdahulu YB Menteri berkata bayaran hibah bagi tahun 2018 kepada pendeposit Tabung Haji (TH) dijangka akan diumumkan dalam bulan Mac ini.
“Bayaran hibah (dividen) kena tunggu, mungkin Mac ini. Saya difahamkan menurut amalan biasa jika telah tutup akaun ia mungkin akan bermula (bayar) hujung Februari atau mungkin awal Mac atau pertengahan Mac akan diumum," ujar beliau pada bulan Februari yang lalu.
Kenyataan ini dibuat setelah TH mula melaksanakan pelan menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira yang mencatatkan defisit lebih RM4.1 bilion pada 2017 dan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari lepas bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.
Kini sudah masuk minggu terakhir bulan Mac, dan berkemungkinan Hibah TH bagi tahun 2018 akan diumumkan dalam minggu ini.
Ramai yang menjangkakan kadar hibah yang lebih rendah pada kali ini. Namun semuanya akan terjawab apabila TH mengumumkan kedudukan kewangannya yang terhasil daripada perjalanan operasi dan pelaburan TH sepanjang tahun 2018.
Menariknya jika dirujuk laman web Tabung Haji, ada dinyatakan bahawa Hibah TH adalah 'hadiah' dan TIDAK WAJIB dibayar:
Hibah TH adalah 'hadiah' yang diisytihar oleh TH, berdasarkan konsep 'Wadiah Yad Dhamanah' iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa.
Hibah tidak wajib dibayar oleh TH. Walaupun amalan pemberian hibah dibenarkan, ia tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai 'urf (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi’ah.
Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadi’ah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih. Pemberian dan cara hibah TH dilakukan adalah seperti yang termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995, Sekyen 22 (1) & (2).
Justeru semua pendeposit perlu memahami bahawa tabungan di Tabung Haji adalah instrumen SIMPANAN dan bukannya PELABURAN yang ada untung dan rugi. Namun menjadi kewajipan Tabung Haji untuk melindungi kepentingan pendepositnya dan memaksimakan kebajikan para jemaah haji.
Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/10358-hibah-tabung-haji-bila-dan-berapa
NOTIS:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment