oleh: Roslan SMS
Cuba kita dakwa bahawa hakikatnya parti DAP itu pro Islam. Ia berjuang untuk memartabatkan Islam dan meletakan Islam sebagai satu cara hidup dalam sistem bermasyarakat dan bernegara.
Jika kita keluarkan kenyataan sedemikian dan jajanya kemana-mana, pasti kita akan bertemu dengan tentangan. Bukan hanya orang Melayu Islam akan menyangkal dakwaan kita malah mereka yang pro DAP termasuklah yang bukan Islam turut akan mengkritik kita.
Bermakna DAP dari segi tindak tanduk dan perjuangannya sesungguhnya memang dikenali sebagai sebuah parti yang bukan berjuang untuk kepentingan Islam. Mereka mungkin tidaklah sampai keperingkat mahu menghapuskan Islam, tetapi Islam sebagai satu cara hidup atau Addeen tidak masuk dalam skop negara Malaysia yang mahu dibina dan diperjuangkan DAP.
Malah antara matlamat perjuangannya adalah: “Mengesahkan lagi dan memulihkan
Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia”
Apakah maksud sekular?
Sekular bermaksud “things, activities, or attitudes that have nothing to do with religion” iaitu perkara-perkara, aktiviti dan sikap yang tidak ada kena mengena dengan agama.
Ini bermakna DAP berjuang untuk mengesah dan memulihkan Perlembagaan Malaysia menjadi undang-udang tertinggi negara yang tidak ada kaitan dengan apa sahaja aspek
Agama.
Ringkasnya walaupun mungkin Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, tetapi jika agenda mensekularkan Perlembagaan ini perjuangan mereka bermakna, Islam yang dimaksudkan pun nanti terhad kepada aspek “ritual” yang sangat terhad, tidaklah sampai mampu mengusai dan mempengaruhi kerajaan, dasar dan polisinya.
Lantas walau apapun diperkatakan hakikatnya begitulah perjuangan dan dasar DAP. Lalu
mengatakan yang DAP itu berjuang untuk Islam, atau untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup sangatlah meleset dan tidak konsisten dengan objektif parti itu sendiri.
Malah dalam segala tindak-tanduk dan pendiriannya DAP jelas menyerlahkan sikapnya dan ia bukan lagi rahsia.
DAP menolak sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam. Sehingga sebarang usaha untuk memperkasakan amalan perundangan Islam dikalangan masyarakat Islam sekalipun mendapat tentangan kuat mereka.
Enakmen Jenayah Syariah Islam yang diluluskan oleh Dewan-dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu sebelum ini yang menyelitkan usaha untuk melaksanakan sebahagian dari perundangan jenayah Islam dikalangan penganut Islam dikedua-dua negeri ditentang mereka walaupun telah digazetkan sebagai undang-undang di negeri-negeri berkenaan.
Begitu juga RUU355 iaitu ikhtiar untuk memartabat dan memperkasakan mahkamah-mahkamah syariah dalam negara telah mendapat tentangan hebat dari DAP dengan kenyataan-kenyataan yang lantang dan keras dari pimpinan mereka.
DAP juga vokal memberi pandangan berkenaan dengan beberapa aspek lain berkaitan amalan Islam dan pandangan-pandangan mereka rata-rata bertentangan dengan nilai dan peraturan Islam.
Inisiatif mengharamkan jualan arak termasuk di kawasan-kawasan majoriti Islam, mendaulatkan sistem kewangan Islam, mengawal amalan dan budaya Melayu yang bertentang syarak, mengawal pusat hiburan yang cenderung maksiat, pencegahan maksiat dan seumpamanya semua tidak disenangi DAP.
Malah hari ini DAP sudah berani dan vokal campurtangan dan mengulas kandungan khutbah Jumaat serta berkonfrantasi dengan Mufti dan cendiakawan Islam.
Kerana itu berdasarkan perkembangan semasa, apa yang dilihat dan didengar rakyat
Malaysia apakah masih tersasar dan meleset jika kita menyatakan yang DAP itu sebuah parti mesra dan pro Islam?
Jika realitinya perjuangan DAP sebagaimana dinyatakan di atas, terbukti ia sebuah parti liberal sekular, yang tidak meletakkan kepentingan atau keutamaan kepada Islam untuk dinobatkan sebagai sebuah sistem bernegara.
Ia mungkin meraikan yang majoriti penduduk Malaysia beragama Islam, namun sebarang usaha untuk meletakkan ajaran Islam itu untuk diterapkan atau dilaksanakan di dalam masyarakat dan negara, walaupun untuk para penganutnya sekalipun dilihat sebagai sesuatu yang mengekang, menyekat dan mengancam kebebasan beragama lantas bertentangan dengan perjuangannya.
Kerana itu istilah “Taliban” dan lain-lain yang menghodohkan Islam mudah dilemparkan oleh DAP apabila ada sahaja usaha dan inisiatif untuk mendaulatkan amalan Islam.
Apa sahaja usaha ke arah itu bagi DAP bertentangan dengan perjuangannya yang mahu mensekularkan Perlembagaan Persekutuan.
Malah ia sebenarnya berusaha mengikut tafsirannya untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang lebih liberal dan pemikiran terbuka, mengambil kebaikan dari ajaran semua agama tanpa meletakkan mana-mana agama lebih dominan dari yang lain.
Kesimpulannya jujur atau bohong jika kita katakan DAP itu parti pro dan mesra Islam atau sebagaimana dinyatakan oleh ahli Parlimen Pengkalan Chepa di Dewan Rakyat baru-baru ini, DAP itu sebuah parti anti Islam?
Berlaku jujurlah kerana politik berpura-pura dan politik matlamat menghalalkan cara itu tidak ada tempat dalam Islam dan masyarakat. Jangan separuh belut separuh ular. Zahirkanlah yang DAP itu parti liberal sekular yang tidak senang Islam itu menjadi amalan politik dan bernegara dan lebih selesa Islam itu agama persendirian, dan segala amalannya sepatutnya terhad pada amalan peribadi atau bagaimana?
Sumber: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/869719826700688/
No comments
Post a Comment