oleh: Dr. Kamarul
Hampir semua orang tahu Pengerusi BERSATU merangkap Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada parti-parti komponen lain Pakatan Harapan, khususnya daripada DAP dan PKR.
Sudah berapa ramai pemimpin DAP yang secara terbuka menyifatkan tindakan atau kenyataan Tun Dr Mahathir sebagai “tidak betul”, “tidak berpatutan”, “tidak tepat”, “tidak kena pada tempatnya” malah ada juga yang menggelarkan beliau sebagai “pengutip sampah”.
Paling keras dan paling mutakhir adalah tindakan Dr Boo Cheng Hau, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, mendesak Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selain mendesak BERSATU keluar dari Pakatan Harapan serta menyertai PAS dan UMNO.
Tidak kurang lantangnya adalah pemimpin PKR, khususnya Kumaresan Aramugam, ADUN Batu Uban, yang mendesak supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim segera dilantik sebagai Perdana Menteri yang tentunya memerlukan Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan.
Paling keras dan paling mutakhir adalah tindakan Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, yang menyebut dalam akhbar Singapura, The Straits Times, mengenai kesukaran bekerja dengan “bekas diktator” yang didakwa mengabaikan agenda reformasi.
Di dalam mana-mana parti politik sekalipun, antara biro yang terpenting adalah Biro Strategi dan Dasar di mana di dalam BERSATU biro ini adalah diketuai oleh Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang dibantu oleh Wan Saiful Wan Jan selaku Timbalan Pengerusi.
Saya teruja melihat Wan Saiful bangkit mempertahankan Tun Dr Mahathir yang diserang oleh Dr Boo Cheng Hau, begitu juga dengan keberanian beliau memberikan amaran kepada pemimpin Pakatan Harapan yang dilihat mahu mengubah asas-asas binaan negara.
Malangnya, tidak begitu kisahnya dengan Datuk Dr Rais Hussin di mana di saat Tun Dr Mahathir ditekan, beliau bukannya bangkit mempertahankan Tun Dr Mahathir, tetapi bangkit membela, malah memuji, pihak-pihak yang menekan Tun Dr Mahathir itu pula.
Inilah yang dibuat oleh Datuk Dr Rais Hussin yang, melalui Malaysia Kini dan Malay Mail Online, memuji Nurul Izzah malah seolah-olah menyokong gelaran “bekas diktator” dengan turut menyebut mengenai “a Leviathan that is incapable of restraining its power”.
Di saat pihak-pihak lain sibuk membicarakan mengenai gerakan untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir, Datuk Dr Rais Hussin pula sibuk menyebut mengenai gerakan untuk menjatuhkan bukan sahaja Datuk Seri Anwar, malah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga.
Begitulah juga dengan tulisan beliau sebelum ini yang meletakkan diri beliau sebagai pembela DAP dengan menyebut DAP adalah parti berbilang kaum yang boleh menjadi pro Melayu dan yang meletakkan bilangan calon Melayu muda teramai dalam PRU 14.
Melihat Ketua Strategis BERSATU yang lebih sibuk mempertahankan pemimpin parti-parti lain berbanding pemimpin parti sendiri ini maka fahamlah saya mengapa ada di kalangan rakan-rakan yang menyebut mengenai agak kritikalnya kedudukan Tun Dr Mahathir kini.
No comments
Post a Comment