M FAQIH 20 FEBRUARY 2019
KETIKA pemimpin Pakatan Harapan (PH) membelasah PAS angkara teori undi tidak percaya, tiba-tiba muncul sepanduk di Kuala Lumpur.
Ada kain rentang bertulis ‘Mahathir letak jawatan! Anwar Ibrahim PM ke-8 Demi Selamatkan Malaysia’. Tidak lama selepas isu guling Tun Dr Mahathir Mohamad didedah PAS, jawapannya seperti menjelma.
Ramai pemimpin PH naik angin angkara dakwaan PAS itu. Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan merumuskan kemungkinan wujud undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Menurut laman berita, sepanduk desak Dr Mahathir berundur dikesan di Bangsar dan Taman Permata. Biar pun ada suara nakal sekali lagi cuba mengaitkan PAS, namun ia seperti tidak diendahkan.
Kronologi awal mudah ditelah. Seminggu lepas semua kerabat PH marahkan Tun. Langkah berani Tun menerima 6 lagi bekas ahli parlimen (MP) Umno ditempelak rakan PH.
Semua bersuara sehingga melabelkan Tun menerima sampah. Sedangkan keberanian Pengerusi Bersatu membolehkan PH mengukuh kedudukan di parlimen.
Sekarang bilangan ahli parlimen PH meningkat kepada 134 berbanding pembangkang 88. Kedudukan hari ini iaitu PKR (50), DAP (42) dan Bersatu (22). Manakala Parti Amanah Negara (PAN) kekal dengan kedudukan 11.
Begitu juga WARISAN (9).
Mungkin sifir Tun mengimpikan PH menjejaki bilangan MP ke-148 untuk keluar dari belenggu simple majority.
Namun DAP, PKR dan PAN melihat aspek lain. Lebih-lebih PKR yang hampir setahun menagih janji Tun. PH bukan sekadar melihat Tun mahu mengukuh kedudukan, sebaliknya ada yang berani mendesak Tun berundur.
Pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau tanpa segan silu mendesak Tun meletak jawatan.
Alasannya Dr Mahathir pernah memperlekehkan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Kenyataan Tun ‘manifesto hanya panduan dan bukan kitab’ menjadi alasannya.
Boo juga menempelak tindakan PPBM menerima bekas MP Umno. Namun gesaan Boo membangkitkan tindak balas pemimpin Bersatu.
Antaranya Wan Saiful Wan Jan. Kata beliau Boo perlu sedar diri. Maka teori yang dirumus PAS tidak boleh dipandang enteng.
Malah bekas Naib Presiden Bersatu Dato’ Hamidah Osman juga tidak yakin Tun memberi laluan mudah kepada Anwar.
“Saya tidak nampak Anwar menjadi perdana menteri. Apa yang berlaku hari ini terang-terangan gerakan dibuat Dr Mahathir untuk menafikan Anwar menjadi perdana menteri,” katanya seperti dilapor media.
Petunjuk lain
Malah petunjuk lain juga disebut Anwar. Katanya PKR tidak akan tendang keluar Dato’ Seri Azmin dan Zuraida Kamaruddin.
Kenyataan itu seperti ada udang di sebalik batu. Pada Khamis lepas juga Presiden PKR terbabit buat sekian kali yakin mampu menduduki kerusi Perdana Menteri kelapan.
Katanya ia akan berlaku dalam tempoh kurang dua tahun.
“Sudah tentu bukan dalam tempoh lima tahun kerana Dr Mahathir telah menyatakan dengan jelas,” dipetik temubual dengan Bloomberg Television.
Situasi sekarang bukan sekadar Tun yang didesak meletak jawatan sebaliknya Pengerusi Bersatu Perak pun mengalami nasib serupa.
Namun agak berbeza Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu didesak letak jawatan oleh pemimpin Bersatu sendiri. Isu itu timbul ekoran Faizal membubarkan Bersatu Beruas, Bagan Serai, Lenggong, Gerik, Teluk Intan, Tapah, Batu Gajah dan Larut.
Apa yang berlaku di Perak mengulangi drama di Negeri Sembilan dan Perlis. Peliknya ketika Bersatu bermasalah di banyak negeri, Tun mengimpikan pula parti itu menjejaki Sabah.
Kemelut yang berlaku kebelakangan ini seolah-olah memperlihatkan ada kewajaran tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tahun lepas.
Pada April 2018 RoS pernah mengeluarkan perintah pembubaran sementara Bersatu.
Ketua Pengarah RoS ketika itu Surayati Ibrahim dilapor berkata perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.
Kemelut demi kemelut yang berlaku itu memperlihatkan PH seperti retak menanti belah. Banyak kajian dan tinjauan awam merumuskan pengaruh PH semakin merosot.
Fenomena itu tentunya menyukarkan Bersatu mempertahankan Dun Semenyih. Lebih-lebih lagi Bersatu kelihatan seperti keseorangan sekarang.
Gabungan pembangkang atas paksi Melayu dan Islam boleh mengulangi rekod di Cameron Highlands akhir bulan lepas. – HARAKAHDAILY 20/2/2019
No comments
Post a Comment