NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pesanan Kepada Ph

Oleh: Rafizi Ramli

Selepas 61 tahun, berlaku perubahan kerajaan persekutuan secara demokratik di Malaysia. Apa pun hasil dari perubahan itu, kejayaan rakyat Malaysia mengusahakan satu perubahan tanpa kekecohan akan tersemat dalam sejarah. 

Rakyat mengambil masa yang agak lama untuk kembali tenang hasil dari rasa teruja di awal pertukaran kerajaan. Dalam bulan-bulan pertama, setiap kali saya menyuarakan sesuatu yang dilihat tidak mengangkat PH, saya diserang hebat. Saya terima ia satu perkara yang dijangka kerana kerajaan tidak pernah berubah, tetapi lambat laun rakyat akan kembali tenang dan objektif. 

Walau bagaimana pun, rasa teruja itu ada membawa kesannya kepada pentadbiran PH. Fokus pentadbiran PH tergelincir sedikit kerana masa bulan madu terlalu lama. Perubahan sikap rakyat terhadap PH, apabila mereka kembali tenang dan objektif, boleh membawa padah politik jika tidak diurus segera. Ada tanda-tanda bulan madu itu sudah hilang madunya, mungkin berganti pahit. 

Populariti yang menjunam

Saya terus mengikuti sentimen rakyat di bawah melalui kaji selidik bulanan dan profailing pengundi yang banyak membantu kempen PH di dalam PRU14.

Komen netizen di portal berita utama secara terang-terang menunjukkan terasingnya rakyat Malaysia sesama sendiri. Setiap kumpulan kaum hidup di bawah tempurung sendiri. Kita tidak sedar perubahan ketara di dalam kumpulan kaum lain, kerana kita hanya bergaul sesama kaum sendiri. 

Saya bukanlah gemar membawa berita buruk, tetapi kalau ia benar ia tetap perlu disampaikan.

Populariti kerajaan persekutuan sejak PH mengambil alih jatuh merudum, berbanding di awal pentadbiran. 

Dalam bulan Jun 2018, 72% responden yang ditanya menyatakan mereka gembira dengan prestasi Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Responden Cina memberikan markah tertinggi iaitu 87 peratus, diikuti dengan responden India (84%). Malah, 66% responden Melayu turut berpuas hati dengan prestasi beliau (dikira tinggi memandangkan PH tidak memenangi undi Melayu dalam PRU14).

Dua minggu lalu, melalui kaji selidik serupa, populariti Tun Mahathir menjunam kepada 53 peratus sahaja. Ada penurunan mendadak sebanyak 20 peratus di kalangan responden dari ketiga-tiga kaum – Melayu (dari 66 peratus kepada 45 peratus), Cina (dari 87 peratus kepada 65 peratus) dan India (dari 84% kepada 64 peratus).

Di beberapa negeri, populariti Menteri Besar (yang sesetengah responden tidak boleh menamakan dengan tepat) adalah lebih tinggi dari populariti Perdana Menteri. 

Defisit undi Melayu

Alasan biasa yang diberikan untuk menerangkan penurunan mendadak populariti itu adalah kegagalan PH memenangi undi Melayu dalam PRU14. 

Mereka yang menjaja alasan ini berteori bahawa PH perlu mempercayai sepak terajang politik Perdana Menteri untuk membolehkan PH mendapat lebih banyak sokongan pengundi Melayu.

Sepak terajang ini termasuklah usaha membawa Ahli Parlimen UMNO yang melompat untuk menambah kerusi BERSATU di Parlimen. Hari ini, akhbar memetik hujah Perdana Menteri bahawa kemasukan Ahli Parlimen UMNO ini akan membawa bersama sokongan Melayu di kawasan desa kepada PH. 

Sebenarnya, bagaimana keadaan sokongan pengundi Melayu dalam PRU14 lalu?

Jumlah sokongan pengundi Melayu kepada PH berbeza dari satu negeri ke satu negeri. 

Di peringkat nasional, PH mendapat kurang dari 30% undi Melayu. Jika dipecahkan mengikut parti, PKR mendapat undi Melayu tertinggi di kalangan parti-parti PH sebanyak 31 peratus (dikira dengan membandingkan undi Melayu kepada PKR di kerusi-kerusi yang ditandinginya), diikuti dengan AMANAH (26 peratus) dan BERSATU (21 peratus).

Jumlah sokongan Melayu kepada PH mengikut negeri boleh dipecahkan kepada empat kategori:

1. Peratusan undi Melayu kepada PH melebihi 40 peratus (Selangor, Wilayah Persekutuan and Penang)

2. Peratusan undi Melayu kepada PH antara 30 peratus ke 40 peratus (Johor, Melaka, Negeri Sembilan and Kedah)

3. Peratusan undi Melayu kepada PH antara 20 peratus ke 30 peratus (Perak, Pahang and Perlis)

4. Peratusan undi Melayu kepada PH kurang dari 20 peratus (Kelantan and Terengganu)

Daripada 97 kerusi parlimen yang dimenangi PH di Semenanjung, hanya 42 kerusi dari negeri-negeri yang undi Melayu kepada PH melepasi 40 peratus.

55 kerusi parlimen yang berbaki itu berada dalam bahaya di dalam PRU15 sekiranya ada perubahan undi ketara di kalangan pengundi Melayu.

PH menang atas platform ekonomi

Mungkin ada yang mula pening dengan angka-angka ini dan apa kena mengena dengan pesanan saya kepada PH.

Memahami angka-angka ini memberi konteks kepada masalah yang dihadapi PH sekarang. Memang benar PH tidak menang undi Melayu yang besar dalam PRU14. 

Namun kita tetap menang majoriti di Parlimen kerana ada pengundi Melayu di kerusi-kerusi marginal yang beralih kepada PH. Mereka mengundi PH kerana tertarik dengan janji-janji ekonomi yang akan membantu kehidupan mereka, bukan kerana PH (dalam PRU14) berjaya meyakinkan mereka kita lebih “Melayu” dari UMNO dan PAS.

Saya sentiasa ingatkan bahawa dimensi perkauman dan keagamaan akan tetap wujud dalam masyarakat kita sampai bila-bila. Setiap perkara akan diwarnai dengan pemahaman berkonteks kaum dan agama, baik di kalangan orang Melayu, Cina atau India (mungkin kurang sedikit di Sabah dan Sarawak).

Sebagai parti politik, jalan terbaik ialah dengan memberi tumpuan kepada kesederhanaan fahaman perkauman dan dasar-dasar mesra rakyat, supaya perbincangan orang ramai tertumpu kepada cara-cara menambahbaik kebajikan rakyat. 

Saya ulangi mesej yang sama sepanjang kempen PRU14, bahawa PH hanya akan menang sekiranya kita berjaya meyakinkan sejumlah pengundi Melayu bahawa hidup mereka akan bertambah baik jika menukar kerajaan kerana harga barang boleh turun, lebih peluang pekerjaan diwujudkan dan gaji yang lebih adil diberikan. 

PH tidak akan berjaya menjadi lebih Melayu dari UMNO atau lebih berpolitik Islam dari PAS. Faham perkauman dan politik Islam itu adalah jenama UMNO dan PAS, sedangkan platform ekonomi itu adalah kekuatan kita. 

Keputusan PRU14 membenarkan hujah saya ini.

Walaupun PH memberi ruang kepada BERSATU untuk menonjolkan dirinya sebagai jaguh Melayu (kerusi terbanyak diberikan kepada BERSATU, pengerusi negeri juga banyak diberikan kepada BERSATU walaupun parti itu paling muda dalam PH), strategi jaguh Melayu itu tidak membawa undi Melayu yang besar kepada PH. 

Malah, BERSATU mendapat undi Melayu yang paling rendah di kalangan parti-parti PH.

Nasib baik PH masih menang cukup kerusi Parlimen kerana ada cukup pengundi Melayu yang berorientasikan ekonomi. Pengundi beginilah yang memberi peluang kepada PH untuk mentadbir Putrajaya.

Pengundi begini juga yang menjadi punca populariti Perdana Menteri dan PH jatuh menjunam sekarang.

Hilang fokus ekonomi

Saya bukanlah tidak faham bencana kewangan yang diwarisi dari pentadbiran dahulu. Sebab rakyat tahu kerosakan yang telah berlakulah yang mendorong mereka memberi kepercayaan kepada PH.

Kita tidak boleh abaikan kumpulan pengundi yang memenangkan PH, iaitu pengundi ekonomi yang datang dari semua kaum. Dari kaji selidik pertama yang saya jalankan sejurus PRU14 hingga dapatan dua minggu lalu, responden semua kaum menamakan beban sara hidup dan janji pilihanraya sebagai isu paling utama yang mereka mahu kerajaan persekutuan tangani.

Selepas bersabar beberapa bulan, rakyat mula hilang sabar dengan apa yang dilihat alasan demi alasan yang diberikan pentadbiran PH. 

Kita memang tidak boleh melaksanakan semua janji dalam masa 100 hari (percayalah, tidak ada pun rakyat Malaysia yang berkira dengan tempoh 100 hari itu), tetapi paling kurang pentadbiran PH mestilah dilihat benar-benar fokus mengusahakan janji-janji itu ditunaikan (kalau pun di masa hadapan). 

Saya tahu usaha itu sedang berjalan, tetapi perlulah juga ada sedikit kemajuan. Selepas beberapa bulan, rakyat tidak lagi berpuas hati dengan berita-berita bekas pimpinan kerajaan dahulu didakwa atas tuduhan rasuah, kerana selagi tiada perubahan ketara (dari segi mutu kehidupan rakyat), mereka akan merasa resah. 

Dalam beberapa perkara, keadaannya makin teruk sejak kita mengambil alih kerajaan persekutuan.

Bayaran sara hidup kepada peneroka Felda lambat secara berterusan dan sudah menjadi sebati dengan pentadbiran PH. Kita bukan sahaja tidak boleh menghapuskan hutang mereka (yang ditimbunkan secara tidak adil oleh pentadbiran dahulu), kita juga lambat membantu mereka dalam keadaan harga sawit jatuh menjunam.

Sementara usaha mengawal harga barang mengambil masa, bila bantuan yang sebelum ini diberikan ditarik balik tanpa ada bantuan gantian yang lebih cekap, itu menjadi peluru pembangkang untuk melunturkan lagi harapan rakyat kepada kerajaan persekutuan.

Memang saya akui proses menstrukturkan kembali PTPTN akan mengambil masa, tetapi kenapa mengumumkan cara pembayaran baru yang bertentangan dengan janji pilihanraya (yang itu pun tidak mampu ditunaikan lagi)? 

Sedangkan sehingga sekarang kita belum mendapat maklumat sebarang rancangan untuk menstrukturkan bon PTPTN berjumlah lebih RM40 bilion itu agar bayaran faedah tahunan lebih rendah. Kenapa kita tidak boleh menggunakan kesempatan adanya Perdana Menteri yang dihormati oleh negara Jepun, untuk mendapatkan pinjaman murah dan menstrukturkan kembali bon ini? Jika kadar faedah boleh dikurangkan dalam 2 ke 3 peratus, penjimatan bayaran faedah boleh mencecah RM1 bilion setahun.

Orang ramai tidak mengharapkan satu keajaiban segera; mereka mahu lihat usaha bersungguh-sungguh untuk membantu hidup mereka.

Setakat ini, mereka lebih banyak mendengar alasan dari kerajaan persekutuan.

Gangguan

Kita juga lebih laju terperangkap dengan babak-babak politik sendiri. Kita semua bersalah dan ada saham sendiri dalam perkara ini, namun orang ramai meneliti tingkah laku jemaah menteri untuk mendapatkan panduan dasar dalam masa-masa yang kecoh begini.

Kita tidak boleh ada terlalu banyak gangguan dalam keadaan kita perlu memenuhi janji-janji ekonomi yang meyakinkan pengundi memilih kita dahulu.

Malangnya, dalam banyak-banyak pencapaian sejak tujuh bulan lalu, pencapaian terbaik pentadbiran PH ialah terperangkap dengan pelbagai gangguan yang mengalihkan tumpuan dari fokus ekonomi rakyat.

Saya benar-benar bingung kenapa ada menteri-menteri yang pandai-pandai berjanji meratifikasikan ICERD, tanpa meneliti kesannya kepada sentimen pengundi Melayu terhadap PH.

Kita berjasa dengan lebih baik jika kita (secara senyap dan berterusan) berjaya memastikan rakyat Malaysia pelbagai kaum mendapat khidmat dan layanan yang seadilnya. 

Tidak perlulah kita gebang apabila hendak memberikan biasiswa kepada pelajar bukan Melayu miskin yang cemerlang kerana memang mereka layak mendapat biasiswa. Juga tidak perlu dihebohkan dan dipolitikkan usaha membantu graduan Melayu meningkatkan kebolehpasaran kerana itu memang perkara wajar yang boleh membantu ekonomi negara keseluruhannya. 

Gangguan-gangguan politik seperti ICERD bukan sahaja memerangkap PH, malah ia memberi senjara terbaik kepada pembangkang untuk berkempen dengan rakyat agar menolak PH. Lebih-lebih lagi dalam keadaan lebih ramai pengundi atas pagar yang pernah mengundi PH dahulu mula merasa terasing dengan alasan-alasan kenapa janji manifesto tidak dapat ditunaikan.


Seminggu sebelum perhimpunan anti-ICERD itu, ada seorang kawan bertanya kepada saya: agaknya jumlah kehadiran boleh mencecah 5,000 orang, kerana UMNO tiada lagi wang untuk menaja bas dan duit poket?

Jawab saya:

Jangan bagi api kepada mereka.


Kalau dahulu, ramai di kalangan kita yang turun ke demostrasi BERSIH kerana kita percaya kepada perjuangan membasmi rasuah, membantu yang miskin dan perubahan. Walau tidak dibayar, kita tetap turun.

Apabila pentadbiran PH memberi ruang kepada golongan yang fahaman perkauman dan keagamaan sempitnya tebal, mereka akan menggunakannya sepenuhnya menjadi api yang menyemarak. Api sebegini akan cepat menyambar orang ramai yang turut kecewa dengan prestasi PH setakat ini. Jangan terkejut lebih ramai akan menyertai demonstrasi anti-PH (walau tidak ditaja bas percuma atau wang poket) jika prestasi ekonomi dan mesra rakyat PH tidak berubah.


Fokus tunaikan janji

Sebab itu, saya ingin memberi pesanan kepada kepimpinan PH bahawa orang ramai loya melihatkan lompatan Ahli Parlimen UMNO baru-baru ini.

Bagi pengundi atas pagar, PH yang lebih sibuk mencari dan membela katak itu menjadi bukti bahawa pentadbiran PH tidak serius untuk menunaikan janji-janji ekonomi yang dibuat semasa kempen PRU14. Kita juga melunturkan keyakinan dan kepercayaan pengundi tegar PH kepada komitmen pentadbiran PH melaksanakan reformasi.

Ada yang memberi alasan lompatan katak dari kalangan Ahli Parlimen UMNO itu penting untuk mengukuhkan sokongan Melayu kepada PH. Tidak ada tanda-tanda perkara ini akan berlaku. Malah, tindakan menculik Ahli Parlimen UMNO ini menyemarakkan lagi kemarahan pengundi PAS-UMNO terhadap PH.

Sepatutnya kita mendampingi mereka supaya lebih ramai memilih untuk mengundi PH melalui program ekonomi yang membantu kehidupan mereka. Yang berlaku sekarang, kita semakin menjauhkan mereka.

Saya jangka yang akan berlaku adalah begini: lebih ramai Ahli Parlimen UMNO yang melompat, lebih lemah UMNO dan lebih kuat PAS, kerana PAS yang akan mendapat laba apabila pengundi Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi ekonomi dan janji pilihanraya yang tidak ditunaikan sepenuhnya oleh PH.

Hanya ada satu cara yang bertanggungjawab ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu dan sederhana: pentadbiran PH mesti memberi tumpuan kepada platform ekonomi, bukannya terjebak ke dalam polemik perkauman dan keagamaan sempit.

PH mesti kembali berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi janji-janji pilihanraya.

Kita mesti ada kesungguhan untuk memperbaiki mutu hidup rakyat seperti yang digambarkan semasa kempen PRU14, bukannya terus bermain dengan babak politik berpanjangan (tidak ubah seperti Malaysia di bawah BN).

Saya memberi pesan agar pimpinan PH meneliti perkara-perkara ini dan membetulkan fokus kerajaan persekutuan.

Dan ia mestilah juga bermula dengan keputusan di peringkat Majlis Presiden PH yang menghantar isyarat jelas kita tidak lagi boleh menerima rancangan membawa masuk Ahli Parlimen UMNO atau menyusun lompatan katak beramai-ramai dari sebelah sana.

Rafizi Ramli

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo