NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muafakat gesa lucut kerakyatan individu hina Nabi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Satu laporan polis dibuat oleh Pertubuhan Muafakat Malaysia (Muafakat) semalam, terhadap pemilik akaun Facebook Wai Foo Sing kerana memuat naik kenyataan dan karikatur melampau yang menghina Nabi Muhammad ļ·ŗ dan isteri Baginda, Siti Aisyah.

Laporan berkenaan dibuat oleh Ketua Lajnah Perhubungan Muafakat, Rashidi Haris di Balai Polis Taman Melawati, jam 6 petang semalam.

Wai Foo Sing, 68, telah ditahan di rumahnya di Mentakab pada 19 Februari lalu dan direman selama tiga hari, sebelum dibebaskan pada 22 Februari atas faktor umur dan komplikasi kesihatan.

Dia ditahan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selepas lebih 470 laporan polis dibuat ke atasnya.

Rashidi berkata, perbuatan yang dilakukan individu terbabit jauh lebih berat kerana menghina Perlembagaan yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1).

“Dengan perlakuan yang melampau dan sangat berat ini, ia wajib ditangani dengan tegas sebagai pengajaran kepada warga Malaysia yang lain agar jangan sesekali membangkitkan sensitiviti agama lain khususnya agama Islam yang merupakan anutan majoriti penduduk dalam negara. 

“Selama lebih 60 tahun negara merdeka, umat Islam tidak sekalipun menyentuh atau menghina anutan agama lain demi menjaga perpaduan dan keharmonian berbilang agama dan kaum dalam amalan kebebasan beragama di Malaysia ini,” katanya.

Justeru katanya, Muafakat menggesa tindakan yang lebih tegas dengan melucutkan taraf kewarganegaraan individu terbabit yang menghina dan menyentuh sensitiviti keagamaan, khususnya agama Islam.

“Malangnya, pada 23 Februari 2019, berita Sinarharian Online melaporkan bahawa individu terbabit yang melanggar Perlembagaan Persekutuan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Tindakan duka cita ini boleh menimbulkan keresahan rakyat seolah-olah menggambarkan bahawa perbuatan menghina Nabi ini adalah perkara remeh dan tidak mustahil ia berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu mengingatkan kepada tindakan tidak puas hati orang Melayu sehingga berlakunya insiden yang pernah menimpa seotang pekerja kafe internet, Ng Mun Tatt.

Katanya, Mun Tatt diculik oleh lapan lelaki berbangsa Melayu kerana telah menghina agama Islam dan bangsa Melayu, termasuk perbuatan melampaunya mencampakkan bangkai babi di hadapan rumah serta surau.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/02/26/muafakat-gesa-lucut-kerakyatan-individu-hina-nabi/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo