NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jawatankuasa Bertindak Kuil Gagal Gantung Inkues Adib


PROSIDING inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang berjalan akan diteruskan selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan jawatankuasa bertindak kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk menggantung sementara prosiding itu.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel tiga hakim memutuskan inkues itu adalah kes berkepentingan awam.

“Kita semua tahu inkues itu adalah kes berkepentingan awam dan ada isu perbalahan. Justeru prosiding tidak harus digantung pada sebarang masa,” kata Umi Kalthum yang bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan.

Terdahulu, peguam M Visvanathan memohon penangguhan interim terhadap prosiding inkues yang sedang berlansung sementara menunggu perbicaraan penangguhan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar membantah dan menyatakan prosiding harus berjalan sehingga 12 April ini seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Koroner.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan penggantungan itu kepada 4 Mac bagi membolehkan jawatankuasa bertindak kuil memfailkan afidavit mengenai kedudukan perundangannya dalam permohonan serta bagi Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit balas kepada permohonan.

Setakat ini, Mahkamah Koroner telah mendengar keterangan 13 saksi dalam tempoh lapan hari prosiding.

Pada 13 Februari, Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Februari lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonan jawatankuasa itu untuk menjadi peguam pemerhati pada prosiding inkues.

Bagaimanapun, tarikh perbicaraan rayuan itu di Mahkamah Rayuan belum ditetapkan.

Jawatankuasa bertindak kuil juga memfailkan permohonan penggantungan prosiding yang sepatutnya didengar hari ini.

Pada 8 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan jawatankuasa bertindak kuil berhubung keputusan Mahkamah Koroner bahawa jawatankuasa itu tidak mempunyai kepentingan dalam inkues bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib tersebut.

Pada 31 Januari, Hakim Rofiah Mohamad menolak permohonan jawatankuasa bertindak untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues atas alasan ia tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.

Inkues yang dijadualkan dari 11 hingga 28 Februari itu akan turut diadakan pada 1, 4 dan 5 Mac serta dari 19 hingga 29 Mac, dan 1 hingga 12 April.

Muhammad Adib, 24 yang merupakan anggota Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November.

Allahyarham meninggal dunia pada 17 Disember ketika dirawat di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo