NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Henti Moratorium Bauksit: Menteri Dap Tidur?


Oleh:NAZMAN CHE IBERAHIM
21 Februari 2019 | 15 Jamadilakhir 1440

POLEMIK berkaitan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang yang bakal disambung semula akhir Mac akan datang memperlihatkan kecamuk cukup teruk dalam kabinet Kerajaan PH pada hari ini. Rakyat khasnya di Kuantan menjadi mangsa kepada drama dan wayang oleh beberapa Menteri yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan. Sudah pasti telah terbayang di minda penduduk setempat akan debu merah berterbangan yang bakal menghantui semula kehidupan mereka.

Paling menjadi persoalan adalah di mana peranan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam isu ini? YB Yeo Bee Yin dari DAP seharusnya menjadi penyelesai segera kepada permasalahan yang bakal wujud semula apabila moratorium dimulakan pada 15 Januari 2016 oleh bekas Menteri Alam Sekitar, Dato' Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal ditamatkan.

Kenapa langkah moratorium yang diumum dan dikuatkuasakan oleh kementerian berkaitan alam sekitar dahulu, pada akhirnya diberi ‘ruang kuasa’ kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier Jayakumar untuk menamatkannya? Apa Menteri DAP buat dan kenapa menyerahkan tugas yang sepatutnya dibuat oleh kementerian mereka kepada pihak lain?

Bahkan tindakan Menteri PKR itu mendapat kecaman dan teguran oleh Ahli Parlimen Kuantan yang juga adalah Naib Presiden PKR iaitu YB Dr Fuziah Salleh. Kenapa terlalu haru biru pengurusan isu ini walaupun Xavier dan Fuziah datang dari parti yang sama? Lebih teruk lagi Fuziah sendiri adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Adakah Xavier bertindak tanpa pengetahuan Kabinet?

Fuziah Salleh dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada 29 Oktober 2015 mengajak rakyat supaya membantah aktiviti lombong bauksit yang beliau percayai telah mencemarkan udara Kuantan dalam proses pengangkutan tanah berwarna merah ini dari lombong ke pelabuhan. Disebut juga olehnya akan bahaya bahan Thorium yang merupakan _Narutally Occurring Radioactive Material_ (NORM) yang bersekali wujud dengan tanah bauksit. Ini semua boleh menjadi penyebab kepada kanser.

Kerisauan lain YB Fuziah Salleh adalah berkaitan pencemaran Sungai Kuantan yang menjadi sumber air minuman penduduk parlimen ini apabila didakwanya logam berat seperti plumbum mengalir masuk mencemari sistem perairan tempatan. Namun ini semua hanyalah satu catatan sejarah sewaktu Fuziah beraksi hanya sebagai seorang Ahli Parlimen dari pembangkang. Namun kini sebagai Timbalan Menteri yang juga mewakili kepentingan serta kebajikan penduduk Kuantan, Fuziah harus berfikir dan bertindak sebagai kerajaan. Langkah sumbang YB Menteri Xavier dan kebisuan YB Menteri Yeo harus dihentikan.

Lajnah Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LAS DPPM) cukup kecewa dengan pengumuman Dr Xavier Jayakumar kelmarin berkaitan tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang akan berakhir 31 Mac depan tidak akan dilanjutkan.

Hujah Xavier terlalu dangkal dengan menggunakan alasan keuntungan semata-mata. Beliau menyebut pada tahun 2015 sahaja, kerajaan negeri direkodkan menerima RM47 juta hasil pembayaran royalti perlombongan bauksit. Hal ini cukup berlainan dengan kerajaan terdahulu yang memulakan moratorium pada awal 2016 walaupun jumlah untung RM47 juta itu telah dicatatkan. Di sini jelas dilihat Kerajaan PH seakan akan tunduk kepada pelombong dan pemain industri bauksit tanpa memikirkan nasib rakyat terbanyak.

LAS DPPM menggesa agar tempoh moratorium disambung kembali selepas 31 Mac nanti sehingga Menteri DAP menjalankan tugasnya yang sebenar dengan menyediakan pemakluman awam mengenai prosedur operasi standard (SOP) serta laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang lengkap berkaitan perlombongan bauksit ini. Dan sekiranya rakyat menolak serta membantah aktiviti perlombongan ini, maka lebih baik kerajaan meneruskan langkah moratorium ini sehingga satu kaedah dan teknologi yang selamat diwujudkan untuk menjana ekonomi negara melalui perlombongan bauksit.

Menteri DAP harus turun ke lapangan bagi melihat isu ini dengan dekat. Berdasarkan laporan akhbar tempatan sejak 5 Julai 2018 iaitu 3 hari selepas YB Yeo mengangkat sumpah sebagai menteri telah ada banyak desakan supaya beliau turun ke Kuantan bagi menyelesaikan isu perlombongan ini. Kerana ia turut berkait dengan nasib para peneroka Felda yang tanah mereka dilombong sehingga sudah tidak boleh ditanam sawit lagi. Mereka mendakwa ditipu oleh pengusaha lombong sejak sekian lama.

NAZMAN CHE IBERAHIM ialah Pengerusi Lajnah Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo