KUALA TERENGGANU 7 Feb. - Musim cuti perayaan dan persekolahan sejak Jumaat lalu memberi rezeki tambahan kepada pengusaha bot penambang di bandar raya ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengangkutan tradisi yang telah berusia lebih 60 tahun itu menjadi tumpuan pengunjung bagi menikmati pengalaman menyusuri Sungai Terengganu, bahkan sehingga ke pukul 6 petang ia masih dipenuhi dengan penumpang.
Seorang pengusaha bot penambang, Wan Mohamad Alif Muhaimin Othman berkata, jika kebiasaannya pendapatan yang diraih hasil penat lelah ke destinasi cuma antara RM15 hingga RM20 sehari tetapi, rezekinya bertambah sekali ganda pada minggu ini mencecah RM50.
Katanya, selain peningkatan trip membawa penumpang dari jeti Seberang Takir ke jeti Taman Syahbandar berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, mereka turut menerima permintaan tinggi untuk membawa pengunjung menyusuri Sungai Terengganu.
"Penumpang mulai ramai sejak Isnin lalu dan ada masanya kami tidak perlu menunggu lama di jeti untuk penuhkan bot.
"Kesempatan ini turut membolehkan kami menambah pendapatan dengan perkhidmatan sewa bot menyusuri sungai yang dikenakan caj RM60 sejam," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang pengunjung Amanda Liyu, 37, berkata, peluang menyambut Tahun Baharu Cina di kampung halaman di Bukit Datu, Seberang Takir dimanfaatkan dengan membawa tujuh ahli keluarganya menaiki bot penambang.
"Kali terakhir saya naik bot penambang masa berumur lapan tahun. Pengangkutan ini cukup istimewa dan tidak ada di ibu kota Kuala Lumpur.
"Selain dapat mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak secara tidak langsung dapat bagi pengalaman baharu kepada dua anak saya dan mereka seronok dapat naik bot penambang walaupun sekejap," katanya yang menetap di Puchong, Selangor. - UTUSAN ONLINE
Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/cuti-beri-rezeki-tambahan-kepada-pemandu-bot-penambang-1.836436
Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/cuti-beri-rezeki-tambahan-kepada-pemandu-bot-penambang-1.836436
No comments
Post a Comment