NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

700,000 pelarian Rohingya terdedah kepada ancaman taufan




COX BAZAR (BANGLADESH), 14 Jamadilakhir 1440H – Kira-kira 700,000 etnik Rohingya di kem pelarian di sini berdepan ancaman taufan menjelang April, apa lagi dalam keadaan tempat tinggal mereka yang diperbuat daripada buluh dan plastik, kata Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

IFRC dalam tinjauan di kem berkenaan mendapati kira-kira 82 peratus daripada 700,000 pelarian memerlukan bantuan tempat tinggal daripada menghadapi suhu ekstrem, hujan lebat dan dua musim taufan siklon dalam setahun.

Keadaan tempat tinggal Rohingya di kem penempatan adalah sekadar asas sahaja. Selepas 18 bulan keadaannya akan rosak secara mendadak, sehingga mencetuskan kebimbangan yang membolehkan mereka terdedah kepada bahaya bencana.

Ketua Pejabat IFRC di Bangladesh, Azmat Ulla berkata, komuniti bantuan di Cox Bazar perlu memberi keutamaan untuk memperbaiki dan menggantikan tempat perlindungan, selain melakukan persediaan dan beberapa keperluan asas bagi menghadapi bencana.

Beberapa minggu kebelakangan ini, kakitangan IFRC dan sukarelawan sudah mengedarkan khemah, tali dan peralatan lain kepada 49,000 keluarga yang dapat memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang.

Mereka juga melatih 8,400 pelarian untuk mengusahakan supaya tempat perlindungan mereka lebih selamat, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Setiausaha Agung IFRC Bangladesh, Feroz Salah Uddin, berkata:

"Juruteknik kami juga turut membantu penduduk bagi memperbaiki tempat tinggal mereka, terutama kepada mereka yang kurang upaya, warga emas dan juga isi rumahnya yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak."

Menjelang April dan Mei, IFRC Bangladesh dan agensi kerajaan juga melatih ribuan sukarelawan daripada etnik Rohingya sebagai persediaan menghadapi taufan siklon.

Bagaimanapun, IFRC bimbang semua persiapan itu gagal sekiranya taufan yang bakal berlaku sama kuat dengan ribut tropika yang membawa maut di Teluk Bengal sebelum ini, kata Feroz.

"Keadaan yang sungguh menyedihkan apabila semua tempat perlindungan mereka ini sebenarnya menggambarkan betapa tidak kekal dan tidak selamatnya hidup ini.

"Kami berterusan menggesa semua pihak supaya membantu menyelesaikan krisis ini. Tetapi pada masa sama, perkara pokok yang lebih utama adalah sekurang-kurangnya memberikan keselesaan asas dan keperluan kepada mereka," katanya. – Agensi 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo