NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Video menari: Mereka patut tahu apa yang perlu dilakukan - Haniff Khatri

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Penularan video tarian melibatkan beberapa individu penting badan perundangan negara disifatkan sebagai menyedihkan dalam suasana Malaysia baharu yang amat menitikberat soal pengasingan kuasa antara institusi perundangan dan eksekutif.

Video yang memperlihatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menari dalam sebuah majlis makan malam itu juga telah menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat.

Sehubungan itu, peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla beranggapan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai tanggungjawab untuk memberi penjelasan apatah lagi penularan video tersebut boleh menggugat keyakinan masyarakat terhadap kerajaan dan institusi perundangan.

Jelas Mohamed Haniff Khatri, dalam keadaan peredaran teknologi yang kian pesat, Richard, Tommy dan Vui Keong perlu lebih arif dengan peradaban sosial masyarakat.

“Isunya di sini bukannya menari, isunya adalah mereka bersama-sama di atas pentas dan memberi pelbagai persepsi umum. Saya tak nafikan adat majlis kehakiman mungkin seperti itu tetapi masyarakat umum yang tidak mengetahui tentang itu mempunyai persepsi berbeza.

“Mereka sepatutnya lebih peka dengan tatasusila masyarakat dalam negara. Walaupun bukanlah majlis formal namun amat mengejutkan apabila Tommy, Richard dan Vui Keong seolah-olah tidak menjaga tatasusila itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada tahun 2016, Mohamed Haniff Khatri pernah mendesak Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Apandi Ali supaya memberi penjelasan dan meletakkan jawatan selepas sebuah video yang memaparkan Apandi menari bersama-sama beberapa menteri tular dalam media sosial.

Video yang dirakamkan semasa sambutan Hari Kebangsaan itu turut memperlihatkan Apandi memakai baju yang sama dengan kesemua menteri ketika itu.

Tambah Mohamed Haniff Khatri, ramai pihak dilihat cuba menyindir beliau apabila dikatakan berdiam diri sebaik sahaja video terbaharu ini tular, namun beliau bertegas dirinya sentiasa konsisten dengan pendirian.

“Saya tidak akan berselindung. Tidak perlu perli. Saya belum berkesempatan memberi komen kerana dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang atas urusan kerja. Saya juga hanya mengetahui mengenai video berkenaan pada pukul 5 petang,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/video-menari-mereka-patut-tahu-apa-yang-perlu-dilakukan-haniff-khatri-1.825842

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo