BANTAH SEGERA RANCANGAN KERAJAAN UK INI
Oleh: Abdul Muein Abadi
Oleh: Abdul Muein Abadi
1. Kerajaan Malaysia khususnya Menteri Pertahanan YB Mohamad Sabu dan Menteri Luar Negeri Dato’ Saifuddin Abdullah digesa agar membantah segera rancangan terbaru United Kingdom untuk membina pangkalan tentera di Asia Tenggara.
2. Setiausaha Pertahanan UK Gavin Williamson dalam temu bual terkini bersama The Sunday Telegraph pada 30 Disember 2018 secara terbuka mengisytiharkan bahawa UK merancang untuk membina pangkalan tentera di Asia Tenggara dan Caribbean – secara khusus beliau menyebut kemungkinan membuka pangkalan berkenaan di Singapura dan Brunei.
3. Laporan tersebut yang bertajuk “Britain to become 'true global player' post-Brexit with military bases in South East Asia and Caribbean, says Defence Secretary” telah mengejutkan para penganalisis dan pemerhati dunia ketenteraan dan perisikan.
4. Apakah konteks pengisytiharan ini? Apakah makna dan implikasi sebenar di sebalik keangkuhan rancangan ini? Mengapa kerajaan Malaysia perlu memimpin kesemua sepuluh negara Asia Tenggara menentang sekeras-kerasnya kehadiran semula kuasa bekas ‘penjajah’ ini?
5. Pada dasarnya, Setiausaha Pertahanan UK mengumumkan rancangan ini sebagai fokus utama UK pasca-Brexit yang akan berlangsung pada Mac 2019 nanti. Ringkasnya, beliau mengatakan bahawa sebaik sahaja keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), UK akan ‘kembali menjadi kuasa global’.
6. Pengumuman ini secara rasminya menandakan berakhirnya Strategi Timur Suez 1968 di mana UK pada waktu itu mengundurkan keberadaan angkatan tentera mereka dari Asia Tenggara. Dalam kes negara kita, Strategi itu menyaksikan Britain menamatkan ‘pakatan ketenteraan’ pertama kita selepas mencapai kemerdekaan iaitu Anglo-Malayan Defense Agreement (AMDA) pada 1971 dan digantikan dengan aturan pertahanan yang lebih ringan: Five Power Defence Arrangements (FPDA).
7. Kerajaan Konservatif pimpinan Perdana Menteri Theresa May hari ini jelas menuruti arus ‘haluan kanan’ yang membawa kepada keputusan Brexit dalam referendum beberapa tahun yang lalu. Bukan sahaja Theresa May berkeras untuk memimpin UK keluar daripada EU, malah ternyata beliau cuba untuk mengembalikan reputasi UK sebagai ‘kuasa dunia yang sebenar’; satu usaha yang pastinya disambut gembira oleh pendukung ‘haluan kanan’ di UK.
8. Secara tidak langsung, rancangan UK ini amat selari dengan ‘seruan’ (atau ‘desakan’) Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar negara sekutu AS turut sama menampung beban ketenteraan mereka di seluruh dunia. Dalam erti kata mudah, Amerika mengendurkan beban mereka yang selama ini memimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), UK pula keluar daripada EU lalu ‘menyahut’ seruan Trump dengan membantu Amerika di Asia Tenggara.
9. Selain daripada menandakan kehadiran kembali kuasa ketenteraan UK di Asia Tenggara pasca-Brexit, rancangan kerajaan Konservatif ini juga bakal memberi impak besar dalam konteks persaingan geopolitik di Laut China Selatan.
10. Hingga saat ini, Laut China Selatan telah menjadi tumpuan antara tiga pihak: China yang menuntut penguasaan ke atas lebih 80% Laut China Selatan, negara-negara Asia Tenggara yang masing-masing cuba untuk mempertahankan Zon Ekonomi Eksklusif masing-masing, dan juga Amerika yang kononnya hadir untuk ‘membanteras’ pencerobohan China di wilayah laut negara-negara Asia Tenggara ini.
11. Benar, negara-negara Asia Tenggara amat terdedah kepada ancaman pencerobohan China melalui kapal pengawal pantai dan nelayan mereka di samping tindakan berterusan China membina kelengkapan ketenteraan di pulau-pulau buatan di Kepulauan Spratly. Namun begitu, hal ini tidak bermakna kuasa Barat boleh sewenang-wenangnya menggunakan alasan ‘Freedom of Navigation’ untuk mengukuhkan kehadiran ketenteraan mereka di rantau ini.
12. Sesungguhnya, kesemua sepuluh negara Asia Tenggara perlu membantah sekeras-kerasnya rancangan UK ini – apatah lagi ia jelas bercanggah dengan prinsip Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) yang dipersetujui ASEAN sekian lama. Berbanding bergantung harap pada bekas kuasa penjajah Barat bagi menangani ancaman China yang semakin hari semakin agresif di Laut China Selatan, negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Brunei sewajarnya membangunkan kerjasama strategik antara satu sama lain bagi mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing.
13. Dalam kes Malaysia pula, rancangan UK ini jelas sekali bertentangan dengan pendirian kerajaan untuk menjadikan kawasan perairan Laut China Selatan sebagai kawasan bebas persaingan keberadaan aset ketenteraan. Maka kerajaan perlu buktikan bahawa pendirian ini bukan semata-mata bersifat ‘kosmetik’, sebaliknya diterjemah menjadi dasar yang konkrit – tidak luntur dan tunduk apologetik di kaki kuasa besar seperti Britain. Semoga kelemahan Menteri Pertahanan dan Menteri Luar dalam berhadapan dengan pencerobohan ruang udara dan perairan negara oleh Singapura baru-baru ini tidak diulangi dalam kes ini.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber: https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10213036630859968
Sumber: https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10213036630859968
No comments
Post a Comment