Oleh: Khairuddin At Takiri
8 Januari 2019 | 2 Jamadilawal 1440H
SOKONG PENDIRIAN PM MENGENAI PENGIKTIRAFAN UEC
1. Meneliti temubual Sin Chew Daily dengan Tun Mahathir, penolakan YAB Perdana Menteri terhadap pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) tidak disebut secara terang tetapi dapat difahami dari bahasa tersirat dan berlapik.
2. Penjelasan yang beliau berikan adalah tegas menunjukkan beliau tidak mahu peperiksaan itu diiktiraf di negara ini. Kata beliau, “Anda tidak boleh mengambil peperiksaan asing dari negara asing dan menggunakannya sebagai suatu kelayakan. Tiada siapa yang melakukannya”.
3. Bahkan, lebih daripada itu beliau memberi amaran*, “Saya fikir, berapa banyak lagi yang anda mahu minta mereka (orang-orang Melayu) terima?”dan menghuraikannya lagi, “Di negara-negara lain, mereka tidak membenarkan sekolah Cina, mereka tidak membenarkan walaupun papan tanda kadang-kadang”.
4. Berdasarkan kenyataan ini dapat difahami bahawa beliau mengingatkan orang-orang bukan Melayu terutamanya kaum Cina agar menghormati dan menghargai toleransi kaum Melayu terhadap kaum-kaum lain di negara ini.
5. Sekalipun diakui adanya kelemahan tertentu pada dasar dan sistem pendidikan di negara ini, namun menerusinya ia telah berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
6. Keharmonian antara kaum ini mesti dipertahankan dan tidak wajar dijejaskan dengan pengiktirafan UEC yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara serta mencabuli Akta Bahasa Kebangsaan dan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.
7. Malangnya pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang (LKS) yang menyusul kenyataan Perdana Menteri itu dengan memberikan jaminan bahawa UEC tetap akan diiktiraf sebelum PRU15 adalah dilihat sangat kurang ajar dan mencabar kedudukan Tun Mahathir sebagai ketua kerajaan.
8. Jika LKS dan DAP merasakan pendirian Tun Mahathir mengenai pengiktirafan UEC ini membelakangkan objektif Malaysia Baharu, saya mencabar beliau dan partinya untuk segera meninggalkan Pakatan Harapan sebagaimana jaminan LKS sendiri sebelum ini.
Sekian.
“Islam Memimpin”
*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_
No comments
Post a Comment