NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sultan Nazrin Timbalan Agong: Tiada lobi-melobi - Dewan Negara Perak


Keprihatinan serta rasa tanggungjawab Sultan Perak Sultan Nazrin Shah kepada rakyat sekali lagi diterjemahkan apabila baginda menawarkan diri sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pemilihan semula Sultan Perak untuk jawatan tersebut yang mula dipegang pada 13 Dis 2016 dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Mesyuarat tersebut turut menyaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Anggota Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini berkata pemilihan Sultan Nazrin menunjukkan proses pemilihan pada mesyuarat tersebut berjalan dalam semangat ukhwah dan muhibah.

"Raja-raja menghormati penggiliran yang mana sekarang giliran Pahang untuk menjadi Agong, kemudian Raja-raja tawarkan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kepada Johor.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak menawarkan diri, Sultan Perak bersedia menawarkan diri serta mengambil tanggungjawab sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak dibantah oleh semua Sultan," katanya kepada Bernama di Ipoh hari ini.

Tambah Mohd Annuar, proses pemilihan yang teratur, tersusun, tertib dan beradab itu juga jelas mencerminkan bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai pekerti yang tinggi selain turut mengutamakan rakyat.

"Tiada lobi melobi, tiada 'undermining' mengatakan orang itu bagus atau tidak, saling hormat menghormati untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata pemilihan Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin dapat meneruskan kesinambungan Sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

Dalam kenyataan ringkas, Ahmad Faizal berkata: "Kerajaan negeri mendoakan agar Sultan Abdullah terus dikurniakan keafiatan dan hidayah dalam menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16".

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo