KUALA LUMPUR: Bekas pegawai polis, Ramli Mohd Noor dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang dijadual diadakan pada 26 Januari ini.
Pemilihan Ramli diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu majlis pada Khamis.
Mohamad berkata BN yakin bekas pesuruhjaya polis yang juga dari golongan Orang Asli itu mampu menarik sokongan komuniti itu.
“Saya yakin Orang Asli akan berikan 100 peratus sokongan,” katanya selepas majlis pengumuman Ramli sebagai calon BN untuk PRK Cameron Highlands.
Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan BN akan meletakkan calon dari masyarakat Orang Asli pada PRK itu dalam usaha menarik undi Orang Asli dan orang Melayu yang merupakan lebih 50 peratus daripada jumlah 32,048 pengundi di kawasan berkenaan.
Pada pilihan raya umum lalu, naib presiden MIC C Sivarraajh memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru, mengatasi M Manogaran dari DAP dengan kelebihan kira-kira 600 undi.
November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan itu atas alasan berlaku amalan rasuah dan memutuskan pilihan raya perlu diadakan semula.
Pakatan Harapan telah menamakan Manogaran sebagai calonnya manakala Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas turut menawarkan diri sebagai calon.
No comments
Post a Comment