NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Negeri Sembilan: Batu berombak di Bukit Baginda khazanah alam


"Memang berbaloi" detik hati penulis sebaik sahaja tiba di puncak Bukit Baginda, terutamanya apabila melihat keunikan "batu berombak" yang banyak diperkatakan kebelakangan ini.

Penulis berjalan kaki kira-kira satu kilometer dari kawasan letak kereta sehingga ke kaki bukit, memanjat bukit itu yang mana laluannya agak mencabar dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke puncak.

Sememangnya pendakian itu memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kental kerana tidak ada satu pun kawasan landai untuk berhenti berehat. Ia hanyalah mendaki dan terus mendaki tanpa henti, walaupun tidak tinggi namun memenatkan.

Walaupun pernah mendaki beberapa gunung sebelum ini, itu berbeza kerana terdapat kawasan landai untuk berehat.

Penulis mendapati pendakian Bukit Baginda menjadi semakin menarik apabila dapat melihat batu berombak itu. Memang sangat mengagumkan, itulah pertama kali melihat batu semula jadi seumpamanya.

Batu hidup

Bukit Baginda terletak di Kampung Majau, Batu Kikir, kira-kira 26 kilometer dari Kuala Pilah, kini semakin popular terutamanya dalam kalangan peminat aktiviti lasak seperti mendaki.

Ia boleh diakses melalui jalan darat iaitu 45 minit menaiki kereta atau motosikal dari bandar Seremban menuju ke kaki Bukit Baginda dan satu jam setengah dari Kuala Lumpur.

Bukit batu berombak itu adalah satu daripada 70 tapak batu megalit atau lebih dikenali sebagai 'Batu Hidup' di daerah Kuala Pilah. Keseluruhannya terdapat kira-kira 300 tapak batu megalit di Negeri Sembilan.

Anak jati kampung berkenaan Ramlan Ruspan, 52, memberitahu Bernama bahawa Bukit Baginda yang mempunyai permukaan berombak menjadi lokasi terbaharu tumpuan para pendaki sejak ditularkan pada Oktober tahun lalu.

Sebenarnya tambah beliau, bukit itu bukanlah asing bagi masyarakat setempat kerana kawasan itu adalah 'lubuk' tempat mereka mencari rezeki daripada pelbagai khazanah hutan seperti herba dan madu.

"Namun, sejak ditularkan sehingga pertengahan Disember lalu, lebih 1,000 pengunjung tempatan dan asing datang ke sini termasuk dari Perancis, Jepun, United Kingdom, Vietnam dan Filipina.

"Mereka amat teruja dan memuji kecantikan hutan Bukit Baginda dan juga 'wave rock' itu," tambah beliau sambil menambah bahawa pada waktu pagi bukit yang mempunyai ketinggian 450 meter dari aras laut itu diselubungi kabus tebal.

Trek semulajadi

Ramlan yang sering bertindak sebagai jurupandu arah kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mahu menjelajah kawasan bukit berkenaan berkata pendakian ke puncak selalunya mengambil masa kira-kira satu jam setengah hingga 2 jam.

Beliau juga berpesan agar para pendaki sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah ketika mendaki terutamanya selepas hujan kerana trek semula jadi bukit itu amat licin.

Beliau yang merupakan guru pendidikan jasmani di Sekolah St Aidan, Bahau itu juga menegaskan pakaian dan kasut bersesuaian amat diperlukan untuk aktiviti mendaki di situ.

"Selain keindahan flora dan fauna, batu berombak Bukit Baginda ini cukup unik. Batu ini dah lama wujud, tapi baru ditularkan oleh kawan saya Abdul Razak Hashim.

"Setahu saya, 'wave rock' sebegini tidak pernah dijumpai di mana-mana kawasan lain di negeri ini. Batu ini pelik sikit, jalurnya senget dengan ketinggian dianggarkan mencecah 20 meter," tambah beliau.

Berbentuk bulat dianggarkan sebesar kira-kira 40m ukur lilitnya dengan sebahagian daripadanya beralun seperti ombak, sememangnya menjadi tarikan kepada pengunjung untuk bergambar berlatarbelakangkan batu itu.

Potensi Ekopelancongan

Walaupun setakat ini Bukit Baginda hanya menawarkan aktiviti pendakian, Ramlan berpendapat kawasan berkenaan sesuai untuk aktiviti 'rock climbing' memandangkan hutan itu mempunyai banyak batu.

Beliau memberitahu, bukit itu juga mempunyai 4 buah gua yang belum diterokai. Setakat ini, belum ada apa-apa bukti prasejarah yang boleh dikaitkan dengan kesemua gua berkenaan, namun sejak kawasan itu tular, terdapat pihak-pihak yang berminat untuk membuat kajian.

"Pada 18 Disember lalu, pihak geologi Negeri Sembilan dan Melaka datang ke sini untuk membuat kajian terhadap Bukit Baginda," katanya.

"Berkemungkinan terdapat bukti-bukti prasejarah di kawasan itu memandangkan Bukit Baginda belum lagi diteroka sepenuhnya. Cuma sebelum ini rakan saya menjumpai keris lama tetapi tidak dapat dipastikan usianya," kata Ramlan yang yakin kawasan itu berpotensi dimajukan sebagai produk ekopelancongan.

Para pendaki yang berminat mendaki dan melihat batu beralun itu dikenakan bayaran masuk sebanyak RM16.

"Daripada jumlah itu, RM5 daripadanya adalah permit hutan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

"RM6 lagi untuk masuk ke Bukit Baginda dan RM5 bayaran tempat letak kereta yang dikutip oleh Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK)," jelas beliau.

--BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo