NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Melayari Fiqh Kenegaraan Tok Guru Nik Aziz 



Oleh : Ahmad Fahmi Mokhtar

Beberapa minggu lepas, timbul isu berkaitan dengan peranan kerajaan dalam ruang peribadi rakyat. Bagaimana sebenarnya peranan yang harus dimainkan oleh kerajaan terhadap ruang individu rakyat?

Pagi ini, duk dengar kuliah tafsir Almarhum TG Nik Aziz, bekas Menteri Besar Kelantan. Ada satu petikan kata-kata beliau berkenaan peranan kerajaan ini, yang bagi aku secara dasarnya menjawab persoalan diatas.

Ini juga boleh kita sebutkan sebagai Fiqh Kenegaraan TG Nik Aziz, beliau sangat berautoriti dalam isu ini sebagaimana yang kita tahu, beliau seorang ulama' dalam masa yang sama merupakan seorang ketua negeri.

Katanya :

Kita sekarang ni pegang sebuah negeri(Kelantan), jangan fikir kira nak buat jalan raya jah, jangan fikir nak betul longkang jah, kena fikir juga hati kalbu rakyat. Selain kita buat kemudahan-kemudahan asasi untuk rakyat hidup, kita juga kena jaga kalbu dia, hati perut supaya dia tidak terpesong dari jalan Allah. 

Nah, jauh lagi apa yang diungkapkan oleh TGNA ini adalah, peranan kerajaan nun jauh perlu masuk ke lubuk hati sanubari rakyat. Tugas kerajaan juga untuk menjaga hati rakyat agar tidak terpesong dari ajaran Islam.

Dalam kita membicarakan perihal ruang peribadi, TGNA telah membawa kita bahawa tugas kerajaan bukan sekadar ruangan peribadi namun, hati rakyat pun mesti dijaga oleh kerajaan.

TGNA menjelaskan lagi bahawa pemikiran manusia ini datang daripada suluhan hati, dari pemikiran tersebut akan menghasilkan tindakan-tindakan yang baik atau tidak baik, perkara ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad S.A.W :

“Ingatlah bahwa di dalam jasad ada segumpal daging. Jika ia baik maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

Maka, sekiranya kerajaan tidak mengambil peduli perihal hati rakyat ini, sekiranya rosak hati tersebut akan turut merosakkan sistem kehidupan masyarakat dalam sesebuah negeri mahupun negara.

Semestinya perkara yang akan merosakkan hati adalah dosa.

Oleh itu, dari pemikiran inilah kita akan dapat memahami kenapa kerajaan dibawah pentadbiran PAS begitu bersungguh-sungguh membangunkan kempen, pendidikan, polisi, peraturan dan penguatkuasaan yang mengambilkira dosa-pahala.

Sebagai contoh di Kelantan dalam isu menutup aurat, peringkat awal dibuat kempen ke masjid, sekolah, kampung dan semua kawasan dikempen tentang kewajipan menutup aurat.

Kemudian dibuat polisi atau undang-undang kepada papan iklan mestilah mempaparkan ikon yang menutup aurat. Begitu juga kepada pengusaha dalam kuasa pihak berkuasa tempatan mesti menutup aurat. Kemudian penguatkuasaan melalui denda dan saman dibuat kepada mereka yang tidak mengikut peraturan.

Walaupun ianya disebut sebagai dosa peribadi. Namun, dosa tetaplah dosa apatah lagi jika ianya dizahirkan ditempat awam.

Pun begitu, difahami bahawa tidak semua dosa boleh dikenakan penguatkuasaan undang-undang. Ada yang perlu diuruskan melalui kempen dan pendidikan seperti dosa batin.

Kerana itulah, sehingga kini tiada di Kelantan dan Terengganu penguatkuasaan undang-undang kepada mereka yang riya’, takbur dan ujub. Namun, pendidikan dan dakwah tetap dijalankan, bukannya membiarkannya atas nama kebebasan individu.

Pelbagai pendekatan digunakan, untuk menghalang rakyat melakukan dosa agar tidak merosakkan hati yang boleh membawa kepada rosaknya individu, masyarakat dan negara.

Ini adalah Fiqh Kenegaraan TGNA mengikut kefahamanku. Selalu disebut oleh beliau, perkara jaga hati, dosa pahala dan syurga neraka ini tidak diajar dalam ideologi yang lain. Hanya Islam yang mengajarnya.

Maka, apabila mempunyai kuasa, elemen-elemen ini akan menjadi dasar kepada perjalanan kerajaan.

Sumber: https://www.facebook.com/pami.malaysia/photos/a.1279592788731271/2252566614767212/?type=3&theater

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo