Oleh: Hafiz Mansor.
Isu sawit tidak sepopular isu minyak petrol waktu ini, tetapi itu tidak bermakna ia tidak penting untuk dibahasakan.
Harga sawit semakin merudum. 2 Januari yang lalu paras harga sawit kurang RM2,000 satu tan. Keesokan harinya naik sikit RM2,091 satu tan.
Salah satu sebabnya adalah lebihan stok minyak sawit yang dianggarkan melebihi 2 juta tan, selain penurunan harga minyak soya (substitute goods) (Rujuk Buletin Sawit edisi November 2018).
Malah, faktor perdagangan global tidak kurang pentingnya untuk dinilai.
Malaysia kehilangan “market share” di China dan Pakistan disebabkan mereka memilih untuk membeli minyak sawit dari Indonesia. Harga minyak sawit yang didagangkan Malaysia pun sebenarnya “slightly” mahal.
Di India sebaliknya ada berita baik. Kerajaan India mengurangkan cukai import minyak sawit mentah dan ditapis walaupun secara relatifnya cukai tersebut masih tinggi.
Walau bagaimanapun, pemotongan ini mungkin melegakan pasaran minyak sawit Malaysia sebab India antara top importer kita.
Kesatuan Eropah ada cerita berbeza. Mereka melakukan sekatan bio bahan api minyak sawit bermula 2021.
Malaysia dan Indonesia antara terjejas dengan sekatan ini kerana kita antara pengeluar terbesar minyak sawit.
Tapi pada pertengahan Jun 2018, sekatan tu ditangguhkan sehingga 2030 melalui rundingan “trialogue” Suruhanjaya Eropah, European Parlimen dengan Majlis Kesatuan Eropah.
Hujah utama sekatan terhadap bio bahan api minyak sawit adalah kerana mereka menganggap sawit sebagai satu-satunya punca utama kepada penyahhutanan (deforestation).
Antara watak utama yang membawa agenda “anti palm oil” di Eropah ialah Katerina Konecna, seorang ahli Parlimen Eropah.
Adakah pilihanraya Parlimen Eropah Mei depan sedikit sebanyak akan mempengaruhi kedudukan perdagangan sawit Malaysia-EU? “We’ll see…”
Apa yang saya boleh katakan adalah kita berdepan dengan “perang informasi” dengan EU dalam isu ini sebab mereka tidak dibekalkan maklumat yang cukup dan jelas terhadap sawit. Ia perlu ditangani sebaiknya.
Pada satu sisi yang lain, di peringkat domestik Kerajaan lancar program B10 biodiesel untuk pengangkutan, manakala B7 untuk industri bermula 2019.
B10 biodiesel bermaksud 10 peratus bio bahan api dari sawit, 90 peratus diesel petroleum. Begitu juga B7 bermaksud 7 peratus bio bahan api sawit, 93 peratus diesel petroleum.
Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit seterusnya membantu meningkatkan semula nilai sawit tersebut.
Program biodiesel juga boleh kurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Kerajaan berhadapan dengan beberapa cabaran:
1. Langkah drastik bantu pekebun kecil yang berjumlah 650 ribu disebabkan paras harga sawit yang rendah.
2. Menghadapi perang informasi di Eropah dengan strategi dialog dan rundingan yang berkesan. Tidak dinafikan juga terdapat negara Eropah lain yang terus berkeras meletakkan sekatan seperti Norway.
3. Meningkatkan produktiviti bahan berasaskan sawit. Indonesia telah memperkenalkan B20 biodiesel sejak 2016. Malaysia B10 biodiesel tahun ini. Jurang yang agak jauh.
4. Mengekalkan 50% hutan simpan di negara ini sebagai satu bukti penanaman sawit tidak menjejaskan hutan simpan. Perancangan strategik perlu bagi memastikan pekebun kecil memiliki sijil MSPO (secara mandatori) bermula 2019.
5. Penerokaan pasaran baru di Afrika dan negara-negara lain. Ia masih bersifat jangka panjang untuk melihat ROI. Namun ia suatu langkah yang baik.
No comments
Post a Comment