Kuala Terengganu, 5 Januari – Pasukan Banggol Tok Ku FC (BTK FC) melunaskan dendam apabila berjaya mempamerkan semangat juang luar biasa untuk menewaskan Majlis Daerah Besut (MDB) dalam perlawanan akhir Liga Amatur Terengganu 2018, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.
Pun begitu, pasukan BTK FC menerima tekanan awal apabila terpaksa bermain dengan 10 orang pemain seawal minit ke-25 berikutan Sukri Faiz menerima layangan kad merah.
Namun begitu MDB gagal untuk menggunakan kelebihan bermain dengan 11 orang pemain apabila dikejutkan dengan jaringan pertama Muhammad Firdaus pada minit ke-34 pada separuh masa pertama menerusi tendangan sudut dari Ibrahim Rasid.
MDB kembali bangkit dengan gol penyamaan awal setelah babak kedua bersambung pada minit ke-50 hasil tandukan Akid Wahab yang menerjah jaring.
Perlawanan kekal terikat 1-1 sehingga separuh masa pada masa tambahan.
Pada minit ke-115 MDB berjaya mendapat jaringan pendahuluan menerusi Syarul Fadzlie, sebelum keriangan untuk bergelar juara berganda dinafikan BTK FC yang menghasilkan jaringan dramatik Ibrahim Rasid pada minit ke-119 untuk mengikat kedudukam 2-2.
Perlawanan yang berlanjutan ke penentuan sepakan penalti memihak kepada BTK FC apabila mereka berjaya memperoleh kemenangan 5-3.
Jurulatih pasukan BTK FC, Mohd Nezeri berkata, pasukan beliau bermain dengan strategi bertahan kerana kekurangan seorang pemain selepas dilayangkan kad merah dan diminta keluar padang.
"walaupun kita tidak dapat mengawal bola 100 peratus namun kita masih lagi boleh bertahan.
"Alhamdulillah dengan semangat juang yang tinggi di antara pemain, BTK FC dapat menyamai kedudukan pada akhir perlawanan seterusnya sepakan penalti diadakan dan kemenangan berpihak pada kita.
"Saya rasa sangat teruja dan bersyukur setelah dinobatkan sebagai Juara TAL'18 kali ini. Ini adalah kejuaraan semua pihak sama ada pengurusan, pemain dan juga penyokong,"katanya ketika ditemui wartawan.
Sementara itu, dua pemain BTK FC, Ibrahim Rasid dinobatkan pemain terbaik perlawanan dan penjaring terbanyak pula disandang oleh Shaiful Rahimie.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ustaz Ariffin Deraman.
Sumber: https://www.teganukita.net/2019/01/banggol-tok-ku-fc-rangkul-juara.html
No comments
Post a Comment