1. Lim Kit Siang (LKS) sangat alergi dengan agenda menyatukan orang-orang Melayu dan memartabatkan Islam. Jika dibiarkan alergi ini tanpa dirawat, LKS dan DAP boleh mati kerananya.
2. Dia sangat tahu akan bahaya alergi ini terhadap kesinambungan hayat politik diri dan partinya kerana dia sudah menghidapinya sejak lama dahulu lagi. Putusnya hubungan PAS dengan DAP selama ini pun kerana alergi ini. Sebab itu LKS mahu DAP hanya berkawan dengan parti-parti yang tiada atau tidak kuat aspirasinya untuk menyatukan orang-orang Melayu dan memartabatkan Islam sahaja.
3. Menjelang semakin dekatnya hari membuang undi PRK Cameron Highland yang menyerlahkan lagi agenda Melayu dan Islam ini menerusi kerjasama PAS dan BN, LKS tiada pilihan selain mencipta pembohongan demi merawat alergi yang sedang dihadapinya.
4. Namun, nampak hodoh dan bodoh betul pembohongan LKS yang mengatakan bahawa Presiden PAS pernah merayu untuk menjadi calon Perdana Menteri. LKS seumpama merawat sakitnya dengan mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor dan ahli farmasi; ataupun, yang memberikan nasihat itu kepadanya juga orang yang rendah ‘intelligence quotient’nya.
5. Semua orang tahu DS Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang bukannya jenis orang yang kemarukkan kuasa. Sangat dimuliakan dan dihormati oleh ahli-ahli parti sendiri pun beliau sudah kurang selesa, apatah lagi untuk meminta-minta menduduki kerusi nombor satu dalam kerajaan yang tidak selari dengan etika Islam. Apabila tokoh lain mencadangkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri pun beliau menolaknya kerana lebih mahu ke laut menjadi nelayan.
6. Walaupun ramai orang dan banyak pihak mengakui akan kelayakan dan kemampuan beliau, namun begitulah sikap beliau terhadap jawatan selari dengan prinsip Islam dalam hal ini. Itulah rendah dirinya manusia yang sangat dibenci LKS dan DAP ini.
7. PAS bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada dengan UMNO atau DAP, asalkan dasar, tujuan dan usaha-usaha PAS seperti yang termaktub dalam perlembagaannya dihormati. Asas kerjasama ini adalah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t., “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Al-Maaidah : 2). Bekerjasamanya PAS dengan DAP sebelum ini atas dasar kesediaan DAP menerima aspirasi politik Islam yang dibawa PAS. Berpecahnya PAS dengan DAP kerana DAP menolak dan menentang aspirasi itu.
8. Demikianlah juga kerjasama PAS dengan UMNO. Pernah bersama pada 70 an atas semangat perpaduan Islam dan sekarang kembali bersama pasca kejatuhan UMNO lalu menjadi pembangkang atas semangat yang sama. Oleh kerana DAP alergi sangat dengan agenda Melayu dan Islam, selama itulah LKS dan DAP akan terus bermusuhan terhadap PAS.
Sekian.
“Islam Memimpin”
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus
No comments
Post a Comment