BANGI, 10 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, yang parah dibelasah perusuh kuil di Subang Jaya dianggap satu tragedi yang memberi pengajaran amat besar kepada negara.
Serentak itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya, mendesak keadilan diberikan kepada Allahyarham dan keluarganya.
Sambil turut bersedih dan menyatakan 'Ummah sedang berduka' dengan kematian Muhammad Adib, beliau berkata, ia menjadi pengajaran kepada negara kerana orang yang ikhlas untuk membantu dan menyelamat, telah terkorban.
Dalam kenyataan lewat malam tadi, beliau berkata, pihak yang berbohong mengatakan Allahyarham dilanggar jentera bomba juga melakukan penghinaan kepada mangsa dan memilukan keluarganya.
Muhammad Adib disahkan mengembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa selama 22 hari, di Institut Jantung Negara (IJN), jam 9.41 malam tadi, akibat kecederaan parah di badan setelah dipukul perusuh kuil dalam kejadian 26 November lalu.
Jenazah beliau akan dibawa ke Balai Bomba Hang Tuah di ibu negara esok untuk penghormatan terakhir, sebelum dibawa ke kampungnya di Tebengau, Kuala Sala, Kedah, untuk dikebumikan.
Pada 26 November lalu, Muhammad Adib diserang perusuh di kuil berkenaan tanpa mempedulikan Allahyarham ketika itu adalah seorang penjawat awam yang sedang melakukan tugas membantu orang ramai.
Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi rusuhan dan dipukul tanpa belas kasihan.
Awalnya, dua jentera bomba termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin dan badan kenderaan itu.
Dalam situasi panik untuk berundur, Allahyarham ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.
Pada masa sama, Haji Aminuddin turut mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional), P Waytha Moorthy, yang kononnya memperjuangkan perpaduan, bukan sahaja gagal menangani isu ini, tetapi terus sombong dan angkuh mempertahankan kenyataan yang menipu dan salah.
"Pada masa yang sama, mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian mangsa masih lagi bebas dan masih tiada kedengaran dakwaan dikenakan atas mereka.
"Di manakah keadilan dan di mana pertimbangan kemanusiaan pihak pemerintah yang diperjuangkan selama ini? Rakyat menuntut pihak Peguam Negara segera menyiasat dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab. Jangan ada pilih kasih dalam pendakwaan ini.
"Rakyat juga menuntut Menteri Perpaduan dan pihak yg berbohong segera memohon maaf kepada keluarga mangsa, khususnya dan seluruh rakyat Malaysia, di atas keceluparan kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan," katanya.
Haji Aminuddin turut mengucapkan takziah bagi pihak Isma dan UMMAH kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
No comments
Post a Comment