Isu Semasa, 12 RabiulAwal 1440 H | 20 Disember 2018
1. Dr Mazlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, telah menyatakan hasrat beliau agar barisan guru Pendidikan Islam yang kini mengajar di Sarawak untuk tidak memohon perpindahan, supaya dapat mendepani masalah kekurangan tenaga pengajar selain membantu proses dakwah Islam di bumi Kenyalang.
Beberapa NGO dan Persatuan di Sarawak telah menyatakan kerisauan dan bantahan kepada kenyataan YB Menteri. Respon ini berdasarkan kegelisahan mereka akan 'proses Islamisasi' yang 'dibawa' oleh para guru berkenaan terhadap anak-anak murid di sekolah, selain menekankan bahawa Islam bukan agama rasmi Sarawak. Turut dinyatakan desakan mereka agar tidak menjadikan sekolah atau institusi kerajaan sebagai pusat dakwah.
2. Majlis Dakwah dan Kebajikan(MDK) GAMIS Sarawak amat berterima kasih akan kehadiran dan usaha tenaga pengajar dari Semenanjung Malaysia dalam membantu mengukuhkan kefahaman Islam dalam kalangan pelajar di sekolah, mahupun di masjid-masjid dan surau. Tanpa mengkompromi keadaan negeri Sarawak yang hidup aman dalam pelbagai agama, adat dan budaya, usaha para guru ini memberikan impak positif terhadap pembangunan adab dan akhlak dalam kalangan Muslim di Sarawak.
3.Pihak MDK GAMIS juga tidak bersetuju terhadap sebarang usaha yang menghalang anak Sarawak beragama Islam dari mendapat hak pendidikan Islam yang berkualiti dari guru-guru berkelayakan sama ada dari Semenanjung atau Sarawak. Halangan ini bercanggah dengan pelembagaan negara yang menjamin setiap rakyat berhak mendapat pendidikan selayaknya bagi mereka.
Sekian, terima kasih.
'ISTIQAMAH BERSAMA ISLAM'
Adzhar Khairulzaim
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Negeri Sarawak 2018
No comments
Post a Comment