NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terokai Tanaman Komoditi Baru, Menjana Pendapatan


oleh: YB Tuan Che Alias Bin Hamid
Ahli Parlimen Kemaman (P040)
20 Disember 2018
                                                                                                                                                                                                    
1. Pada hari ini, pasaran komoditi di seluruh dunia melalui tempoh kemerosotan dengan sektor pertanian mencatatkan pengeluaran yang tinggi sama ada kacang soya,getah, biji sesawi, bunga matahari atau kelapa sawit yang sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi negara dan pendapatan rakyat. 

2. China dan India yang sebelum ini adalah pengguna minyak sawit terbesar di dunia, kini mengurangkan pembelian disebabkan pengeluaran tanaman mereka sendiri yang lebih baik.Misalnya China telah mengeluarkan minyak kacang soya, minyak kacang dan minyak biji sesawi sendiri, manakala India mengeluarkan antara lain, biji sawi, minyak biji bijan dan minyak kelapa.

3. Saya menyarankan kepada Kerajaan supaya terus menerokai pasaran tanaman komoditi atau produk pertanian negara yang baru selain daripada sawit,getah,koko,lada mahupun kenaf dan lain-lain  bagi menstabilkan ekonomi negara dan persaingan yang sihat antarabangsa. Ini bermaksud bukan terus abaikan tanaman komoditi sedia ada, penambahbaikan perlu ada dari semasa ke semasa.

4. Jabatan Pertanian telah mengenalpasti beberapa komoditi yang berpotensi sebagai penyumbang kepada ekonomi negara seperti herba dan rempah ratus, roselle, vanilla, cendawan dan madu lebah. Saya berharap agar Kerajaan terus membuka ruang dengan menyediakan bantuan atau peruntukan yang mencukupi untuk mengusahakan industri komoditi yang berpotensi dan membentuk satu pakatan kerjasama yang padu di antara pihak  industri dengan Jabatan Pertanian, FAMA, AgroBank dan MARDI serta agensi agensi R&D.

5. Di sini saya ingin menyentuh berkaitan pengusahaan tanaman komoditi baru iaitu cendawan dan roselle yang bukan sahaja  dapat menjana pendapatan malah berpotensi dimajukan sebagai produk agro pelancongan negara kita. Tanaman cendawan ini berpotensi dikomersialkan kerana harga jualan cendawan tiram kelabu contohnya mencecah RM15 sekilogram di Johor Baharu. Manakala roselle sebagai komoditi eksport di negara kita memandang pada tahun 2014, Malaysia telah mencatatkan nilai eksport roselle melebihi RM3 juta dan negara Australia dan Korea Selatan menjadi destinasi eksport utama produk tersebut.

6. Oleh itu, saya mencadangkan supaya Kerajaan pada hari ini akan terus membantu pengusahaan tanaman komoditi yang berpotensi agar terus optimis berkembang sama ada dalam dan luar negara sekaligus membantu petani mahupun pekebun memperoleh pendapatan tambahan. Selain itu saya juga meminta Kerajaan mengenal pasti tanaman komoditi yang boleh menjamin pendapatan rakyat untuk  jangka panjang bagi menggantikan sawit dan getah yang saban hari merosot. 


“ Islam Memimpin”


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo