BUKAN satu atau dua, tetapi lima gol diledakkan pemain Manchester United pada perlawanan pertama tanpa Jose Mourinho pada Sabtu.
Kelab itu menewaskan Cardiff City 5 - 1 dengan aksi bergaya di bawah kendalian pengurus interim, Ole Gunnar Solskjaer.
Jaringan Manchester United diperoleh pada babak pertama oleh Marcus Rashford, Ander Herrera dan Anthony Martial, sementara pada babak kedua, dua gol menerusi Jesse Lingard.
Sementara itu, gol tunggal Cardiff dijaringkan Victor Camarasa.
Ini adalah kali pertama The Red Devils mencatat lima gol dalam aksi Liga Perdana (EPL) sejak pengunduran Sir Alex Ferguson pada Mei 2013.
Kemenangan pertama di bawah Solskjaer pada awal pagi ini (waktu Malaysia) beri lonjakan semangat buat penyokong.
Mereka sebelum ini merasakan kehebatan pemain-pemain Manchester United tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mourinho hingga kelab itu mencatat prestasi memalukan.
Sementara itu, Solksjaer memuji anak buahnya selepas mereka mempamerkan aksi hebat dalam perlawanan itu.
Ole Gunnar Solskjaer meraikan kejayaan selepas Manchester United menewaskan Cardiff City 5 - 1 di Stadium Cardiff City, 22 Dis, 2018. REUTERS |
Sikap yang ditunjukkan pemain sangat baik, katanya, sambil menambah beliau kagum dengan cara mereka mengendalikan perlawanan ini.
"Ini adalah minggu yang sukar untuk semua. Untuk mendapat persembahan seperti hari ini, saya kagum.
"Mereka buat saya selesa ketika mengambil alih kelab ini. Saya sangat teruja ketika menemui orang-orang baru.
"Saya mengenali kelab ini, kakitangannya, jadi saya mempunyai pengalaman yang sangat hebat di kelab ini.
"Pemainnya, Rushford, dia ada serangan yang baik, dia menyukarkan penjaga gol lawan. Kita kini boleh bertenang dan beraksi dengan baik.
"Kita mengetahui tenaga yang ditunjukkan penyokong di sini, saya pernah berada di sini, kita mengenali gerak-geri pemain. Ini sesuatu yang sangat menarik untuk dilihat," katanya.
No comments
Post a Comment