NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Satu Negara Palestin Berdaulat Sebagai Penyelesaian



Oleh: Ustaz Nik Mohamad Abduh

Umat Islam mestilah jelas bahawa isu Palestin hanya akan selesai dengan terbentuk kembali sebuah negara Palestin yang berdaulat. Penyelesaian dua negara (two-state solution) bukanlah cadangan yang benar, malah hanya sebagai jalan pintas ke arah pengiktirafan terhadap negara Israel yang telah merampas dan menjarah negara Palestin sejak puluhan tahun dahulu. PAS secara tegas berpegang dengan penyelesaian sebenar ini.

Perbahasan mengenai penyelesaian dua negara (two-state solution) seringkali menjadi topik utama dalam mana-mana wacana antarabangsa. Ia diwar-warkan sebagai satu-satunya penyelesaian tanpa pilihan kedua terhadap isu Palestin. Pendirian ini juga turut disambut oleh Wisma Putra yang menganggap penyelesaian tersebut adalah jawapan yang konkrit kepada konflik panjang Palestine-Israel. Ia adalah satu pendirian yang amat dikesali oleh kerajaan Malaysia yang pasti mengundang konflik yang lebih panjang dan parah. PAS menolak pendirian yang lemah ini.

Penyelesaian dua negara sekali lagi disentuh dalam Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersidang pada 23 Disember 2016. Ia menjelaskan pada fasal 1 iaitu:

“Reaffirms that the establishment by Israel of settlements in the Palestinian territory occupied since 1967, including East Jerusalem, has no legal validity and constitutes a flagrant violation under international law and a major obstacle to the achievement of the two-State solution and a just, lasting and comprehensive peace;”

Resolusi ini menyentuh mengenai pelanggaran Zionis Israel dengan membina penempatan haram di sempadan sebelum tahun 1967 atau turut dikenali sebagai The Green Line. Tindakan Zionis Israel tersebut bukan sahaja melanggari ketetapan antarabangsa, bahkan merosakkan rundingan damai terhadap penyelesaian dua negara yang dianggap oleh PBB sebagai penyelesaian jangka panjang yang adil dan keamanan yang komprehensif.

Persoalannya benarkah penyelesaian dua negara ini merupakan titik akhir kepada konflik yang berlaku? Ini kerana mereka berhujah bahawa penempatan golongan Yahudi telah lama bertapak di situ malah negara haram Israel turut diiktiraf oleh PBB pada 1948.

Suatu perkara yang perlu difahami adalah pengiktirafan untuk kembali ke sempadan 1967 bukan hanya bermaksud kita menerima Israel sebagai sebuah negara. Malah, penyelesaian dua negara yang dilaung-laungkan sesetengah pihak adalah secara langsung membawa kepada pengiktirafan terhadap Israel sebagai sebuah negara yang sah. Soalnya, apakah benar untuk memberi pengiktirafan rasmi kepada Israel sebagai sebuah negara? Bukankah ia satu pengiktirafan terhadap penjajahan yang bererti bahawa mana-mana kuasa besar berhak untuk meluaskan kekuasaan negaranya melalui perampasan terhadap kedaulatan negara-negara yang lemah?

Kemudian, jikalah dengan lamanya puak Yahudi bertapak di tanah Palestin menjadi alasan untuk kita mengiktiraf mereka, maka bagaimana dengan bangsa The Red Indian? Tidakkah mereka lebih berhak terhadap Amerika Syarikat (AS) kerana mereka adalah orang asal yang lebih awal menetap di sana? Begitulah juga dengan hak bangsa asal yang lain.

Oleh kerana itu, penyelesaian utama konflik Palestin-Israel haruslah dihalakan kepada pengiktirafan terhadap satu negara Palestin yang berdaulat yang mengandungi masyarakat majmuk yang hidup saling menghormati antara satu sama lain. Ia dengan demikian mengembalikan hak rakyat Palestin tanpa menghilangkan hak semua untuk memiliki kerakyatan negara Palestin.

Dari sisi yang lain, sehingga hari ini Palestin masih tidak diiktiraf sebagai negara keahlian penuh (full state member) di bawah PBB sebaliknya hanya diberikan status Pemerhati Tetap (Permanent Observer) bersama-sama negara Holy See.

Persidangan Agong PBB pada 2011 menolak permohonan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan diplomatik sebagai sebuah negara keahlian penuh. Namun Palestin tetap diiktiraf secara bilateral dengan 137 buah negara anggota PBB yang lain.

Walau bagaimanapun, UNESCO telah memberi status negara keahlian penuh terhadap Palestine pada 31 Oktober 2011. Berdasarkan Vienna Formula, mana-mana negara yang mendapat pengiktirafan sebagai negara keahlian penuh oleh UN Specialized Agency seperti UNESCO, maka peluang untuk negara tersebut memperoleh pengiktirafan diplomatik oleh PBB sebagai sebuah negara keahlian penuh turut semakin cerah.

Tidak dapat disangkal bahawa pencabulan Israel terhadap Palestin tidak hanya terhenti dalam siri-siri keganasan tentera Zionis yang melakukan serangan bertali arus pada setiap tahun, bahkan juga tindakan-tindakan unilateral Zionis Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) sangat jelas tidak mengendahkan tekanan antarabangsa.

Resolusi 478 Majlis Keselamatan PBB pada 20 Ogos 1980 telah meletakkan ketetapan bahawa tiada 'diplomatic missions' di Jerusalem kerana menghormati Masjid Al-Aqsa serta penempatan suci tiga agama, Islam, Kristian dan Judaism. Ironinya, Donald Trump, Presiden AS sewenang-wenangnya telah memindahkan secara rasmi kedutaannya daripada Tel Aviv ke Baitul Maqdis Mac awal tahun yang lalu. Ia terus berlaku meskipun bertentangan dengan resolusi antarabangsa.

Begitu juga tindakan apartheid meluluskan Jewish State Law melalui Parlimen Israel pada 19 Julai 2018 sekaligus menjadikan tanah air Israel adalah milik bangsa Yahudi serta menjadikan bahasa Hebrew sebagai bahasa rasmi.

Deretan pencabulan yang dilakukan Zionis Israel di bumi Palestin tidak mendapat perhatian daripada masayarakat dunia. Ia juga secara jelas memberi gambaran bahawa penyelesaian 'two-state solution' adalah satu harapan palsu ke arah keamanan sebenar di bumi Palestin.

Oleh sebab itu, umat Islam sewajarnya bergerak ke arah satu penyelesaian iaitu sebuah negara Palestin yang berdaulat. Ia suatu tugas yang penting bagi membuka pintu-pintu penyelesaian terhadap konflik, seterusnya menghentikan tindakan zalim Zionis Israel dan mengembalikan Palestin kepada keamanan sebenar.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo