DAMSYIK, 18 Rabiulakhir 1440H, Rabu – Stesen televisyen Syria melaporkan tentera kerajaan memintas peluru berpandu yang ditembak jet rejim pengganas Israel di sini, malam tadi waktu tempatan.
Laporan itu menyebut, serangan peluru berpandu itu bagaimanapun jatuh di sebuah depoh senjata Syria mencederakan tiga anggota tentera, kata sumber tentera kerajaan.
"Sistem pertahanan kami memintas dan menjatuhkan kebanyakan peluru berpandu ditembak jet Israel di ruang udara Lubnan sebentar tadi, sebelum ia mengenai sasaran," katanya.
Terdahulu agensi berita rasmi Lubnan, NNA, melaporkan jet rejim Zionis terbang pada paras rendah di selatan negara itu menuju Syria.
Hampir sejam selepas serangan bermula, penduduk Damsyik masih mendengar beberapa letupan daripada sistem pertahanan udara Syria.
Rejim pengganas Israel berkata, sistem pertahanan udaranya diaktifkan untuk berdepan kemungkinan Syria menembak peluru berpandu ke negara itu.
Rejim Zionis Israel sebelum ini banyak melakukan serangan udara menyasarkan kedudukan askar Iran, terutama di selatan Damsyik.
Tindakan rejim Israel malam tadi adalah yang pertama dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan mengundurkan semua tenteranya di Syria. – Agensi
No comments
Post a Comment