KOTA BHARU, 22 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jelas menunjukkan peribadinya yang tidak tetap pendirian apabila beberapa kali mengubah keputusan berhubung isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, dalam tempoh tujuh bulan sahaja, tiga keputusan berbeza dibuat pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkaitan pinjaman pendidikan itu.
"Ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, PH melancarkan manifesto bayaran balik pinjaman PTPTN dibuat apabila gaji graduan mencapai RM4,000.
"Bagaimanapun ketika pembentangan Belanjawan 2019 bulan lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
"Namun, tidak lama selepas itu diumumkan pula potongan pinjaman PTPTN akan dibuat apabila gaji peminjam mencecah RM2,000 sebulan pada kadar dua peratus," katanya pada kuliah mingguan di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PH sebelum ini sering melabelkan PAS sebagai 'kluk klik', iaitu yang sentiasa berubah.
"Sedangkan sebelum ini mereka melabelkan kita sering kluk klik, padahal hakikat sebenar pemimpin parti itu lebih kluk klik sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat," katanya.
Katanya, isu PTPTN jelas menunjukkan pemimpin PH membuat keputusan yang berbeza dalam masa singkat.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/30/kerajaan-ph-tiada-pendirian-tetap-isu-ptptn/
No comments
Post a Comment