Kian Ming (tiga dari kanan) beramah mesra dengan usahawan yang menyertai pameran barangan sempena Hari E-Dagang di Menara MITI, Kuala Lumpur semalam. |
IKHWAN IDERIS
04 Disember 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan pertumbuhan sektor e-dagang melebihi 20 peratus setahun yang bakal dipacu daripada pertambahan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Ong Kian Ming berkata, sektor e-dagang mencatatkan pertumbuhan berterusan dengan perolehan sebanyak RM85.8 bilion tahun lalu berbanding hanya RM37.7 bilion yang direkodkan pada 2010.
Jelasnya, perjanjian mengenai e-dagang yang ditandatangani oleh Menteri-Menteri Ekonomi di Singapura baru-baru ini juga bakal memesatkan lagi pertumbuhan sektor itu yang dijangka menyumbang lebih RM100 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2020.
"Perjanjian ini mempromosikan lebih banyak aktiviti e-dagang rentas sempadan serta mengurangkan halangan eksport berkaitan e-dagang.
"Selain membantu eksport, ia memudahkan barangan masuk seterusnya memberi pendedahan kepada pasaran tempatan mengenai produk unik dan berlainan dari negara ASEAN lebih kecil yang sebelum ini tidak berada dalam radar pengguna kita.
"Kami mahu memanfaatkan perkembangan ini untuk menggalakkan lebih banyak PKS terlibat sama dan negara memiliki pelbagai inisiatif untuk membantu seperti Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan platform 'Go ECommerce," katanya.
No comments
Post a Comment