NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Meletakkan Kesalahan Pada Rasulullahﷺ


Oleh: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

1. YB Khalid dilaporkan berkata bahawa kegagalan mereka menunaikan janji manifesto adalah disebabkan kerana terdapat halangan. Namun apabila mengaitkan perkara ini dengan Umrah Rasulullahﷺ pada tahun Hudaibiyyah, ia adalah analogi yang tidak tepat.

1.1 Kata Khalid: "Nabi SAW pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Mekah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Udaibiyah, tidak dapat. “Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa."

2. Khalid dilihat sebagai mengaitkan janji manisfesto dengan Umrah Rasulullah. Analogi ini adalah tidak tepat. Ini adalah kerana, keluarnya Rasulullahﷺ untuk menunaikan Umrah pada waktu Hudaibiyyah tersebut dikira sebagai Umrah. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Sahihnya yang menyebutkan:

عن أنس رضى الله عنه: "أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ اعْتَمَرَ أَرْبَعَ عُمَرٍ، كُلُّهُنَّ فِى ذِى الْقَعْدَةِ إِلَّا الَّتِى مَعَ حَجَّتِهِ: عُمْرَةً مِنَ الْحُدَيْبِيَةِ، أَوْ زَمَنَ الْحُدَيْبِيَةِ فِى ذِى الْقَعْدَةِ...

“Daripada Saidina Anas, beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah telah menunaikan Umrah sebanyak empat kali, kesemuanya di dalam bulan Zulqaedah melainkan Umrah yang dilakukan bersama ibadah Haji Baginda. Umrah yang pertama adalah Umrah daripada Hudaibiyyah, atau Umrah ketika waktu Hudaibiyyah pada bulan Zulqaedah…” (HR al-Bukhari)

3. Dalam menghuraikan hadith ini, al-Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa Umrah pada hari Hudaibiyyah tersebut juga dikira sebagai salah satu Umrah yang empat yang dilakukan oleh Rasulullah. Kata Ibn Hajar:

لم تكن فسدت حتى يجب قضاؤها، بل كانت عمرة تامةً

“Umrah tersebut tidak dianggap sebagai Umrah yang rosak yang perlu di qadha. Bahkan ia adalah Umrah yang sempurna."

Atas sebab itu Umrah Hudaibiyyah dianggap sebagai Umrah yang empat yang pernah ditunaikan oleh Rasulullah seperti yang dinyatakan dalam hadith al-Bukhari di atas.

4. Pendapat yang sama turut disuarakan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim di dalam Kitabnya Zad al-Maad yang meletakkan Umrah Hudaibiyyah sebagai Umrah yang pertama Baginda setelah hijrah. Beliau seterusnya menjelaskan:

فصدَّه المشركون عن البيت فنحر البُدْن ( أي هديه من الإبل ) حيث صُدَّ بالحديبية وحلق هو وأصحابه رؤوسهم وحلّوا من إحرامهم ورجع من عامه إلى المدينة .

“Apabila Qurasyh menghalang Rasulullah, Baginda menyembelih al-Budn (unta Baginda), kemudian Rasulullah mencukur kepala, dan bertahallul dari ihram mereka dan pulang ke Madinah.

5. Jelas melalui huraian Ibn Hajar dan Ibn al-Qayyim ini menunjukkan bahawa Rasulullah menunaikan Umrah pada tahun Hudaibiyyah tersebut. Dakwaan yang menyatakan Rasulullah tidak menunaikan janji kerana dihalang oleh Quraysh tersebut adalah dakwaan yang tidak tepat.

6. Akhir sekali, janganlah kerana kesilapan kita, bebanan ini diletakkan kepada Rasulullahﷺ.

Moga Allah merahmati kita semua.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo