NOTIS:
Himpunan 812: Lebih 150 waris mangsa Memali turut hadir
Oleh Wartawan Ismaweb.net
KUALA LUMPUR, 30 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Umat Islam harus bersatu menentang musuh agama yang kini menggunakan segelintir Melayu untuk memecahbelahkan kesatuan ummah.
Yahya Abdul Rahman, 55, dari Memali, Kedah, berkata, kehadirannya ke perhimpunan aman hari ini, Himpunan 812, adalah demi menyahut seruan mendaulatkan syariat Islam dan mempertahankan kedudukan bangsa Melayu di tanah air.
"Ini perhimpunan aman, dan kami waris-waris kejadian Memali ini datang menyertai untuk membawa mesej keamanan. Kami datang dengan silaturrahim.
"Kita berkumpul untuk memberi mesej kepada kerajaan, bahawa tindak-tanduk mereka diperhatikan rakyat.
"Kita juga nak beri mesej, ada ramai bangsa Melayu yang memerhati polisi mereka, terutama bila sentuh soal Melayu dan Islam," katanya kepada Ismaweb.net di sini, hari ini.
Yahya Abdul Rahman, 55, tiba dari Memali, Kedah, jam 5 pagi tadi untuk menyertai Himpunan 812 di Dataran Merdeka, hari ini.
Yahya, yang mewakili kumpulan waris mangsa kejadian Memali tahun 1985, juga berkata, kehadiran beliau dan waris lain yang sekitar 150 orang menyertai himpunan di Dataran Merdeka hari ini bagi membuktikan kesepakatan dan solidariti.
"Kenapa kami waris mangsa kejadian Memali ini sanggup turun ke perhimpunan ini? Kerana kami ingin menjelaskan bahawa hanya melalui kesepakatan orang Melayu, agama Islam dapat didaulatkan. Melayu sepakat, Islam berdaulat.
"Kami juga ingin tegaskan kepada Melayu yang bersekongkol dengan kafir. Mereka ini munafik. Kita akan berusaha menyantuni dan berdakwah kepada mereka.
"Tapi ingat, kita daripada kalangan ummah yang cakna ini, menjadi tanggungjawab kita memerangi usaha untuk mencemari kesucian agama, termasuk yang diakibatkan oleh puak munafik," katanya.
Yahya berkata, kumpulan waris mangsa Memali bertolak dari Baling, Kedah semalam seawal jam 5 petang, dan tiba di sini sekitar jam 5 pagi.
"Kami naik kereta, ada 20 buah kereta. Ada juga naik bas. Jadi, anggaran sekitar 150 orang waris mangsa yang menyertai perhimpunan.
"Kami juga bukan sebarangan setuju nak ditemuramah," katanya.
Sumber: Ismaweb.net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment