NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Grup WhatsApp jadi medan politik murahan



Azimi Mustapha
04 Disember 2018 3:00 AM

SEJAK aplikasi WhatsApp diperkenalkan kepada pengguna telefon pintar beberapa tahun lalu, banyak manfaat atau faedah yang dapat diperoleh oleh pengguna.


Ia adalah satu aplikasi yang banyak memberikan kebaikan sebenarnya dan juga satu kemudahan untuk orang ramai berhubung dengan sesiapa sahaja. Aplikasi ini tidak mengenakan sebarang caj dan hanya menggunakan data internet, tidak seperti khidmat pesanan ringkas (SMS).


Pada masa ini, penggunaan SMS semakin terpinggir disebabkan ia servis berbayar.

Setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya 10 hingga ke 15 grup WhatsApp terdiri daripada rakan sekolah rendah dan menengah, teman di tempat kerja, ahli keluarga, anggota kejiranan dalam taman perumahan dan banyak lagi.

Keahlian grup WhatsApp adalah bertujuan untuk menjalin kembali hubungan yang sejak sekian lama terputus dengan bertanyakan khabar serta perkembangan terkini antara satu sama lain.

Perlu diingat biarpun banyak manfaat yang diperoleh daripada penggunaan grup WhatsApp, namun jika kita tersilap menggunakannya, boleh tercetus bibit-bibit persengketaan yang seterusnya memutuskan tali persaudaraan dan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama.

Kebiasaannya, grup WhatsApp boleh mencetuskan permusuhan apabila membiarkan ahli-ahlinya membincangkan topik politik kepartian murahan dengan penuh emosi tanpa ada sebarang cubaan untuk meredakannya.

Perkara ini berlaku kepada penulis yang turut terjebak dengan perkara ini. Pada mulanya, salah satu grup WhatsApp yang disertai penulis amat harmoni dan hanya memberi fokus tentang mengukuhkan ukhuwah yang dibina selama ini.

Dalam grup tersebut terdapat pelbagai fahaman dan aliran politik sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Bibit-bibit perpecahan mula timbul selepas salah seorang ahli grup yang berfahaman politik tertentu memuat naik satu status mengenai kenyataan ahli politik yang mereka tidak suka dengan mengeluarkan kata-kata yang agak kesat dan kasar. Ini sudah pasti mengguris perasaan rakan-rakan yang ada dalam grup tersebut.

Natijahnya, rakan-rakan yang selama ini makan dan minum bersama di lokasi dijanjikan pada hujung minggu kini bermasam muka dan terdapat juga yang me- ninggalkan grup kerana tidak tahan diperli dengan kata-kata menyakitkan hati.

Pada hemat penulis, kita boleh berpolitik asalkan tidak memberi kesan negatif kepada persahabatan sesama ahli grup. Lagipun, ada sesetengah grup WhatsApp berpolitik 24 jam sehari. Ini tidak patut berlaku.

Sebenarnya, kebanyakan ahli grup yang tidak bersetuju dengan cerita-cerita politik yang kadang-kadang memualkan hanya berdiam diri kerana bagi mereka belum tentu apa yang disebarkan itu berita yang sahih.

Mungkin ada banyak perkara yang menimbulkan fitnah dan terdapat tokok tambah 'ditaburkan' sajikan berbanding fakta sebenar.

Alangkah baiknya jika setiap pengendali grup WhatsApp meletakkan syarat agar setiap ahli tidak memulakan cerita yang boleh menggugat keharmonian dalam persahabatan dan 'melepaskan ego' masing-masing dengan segera memohon maaf jika tersilap menghantar gambar atau tulisan yang tidak disenangi rakan-rakan lain.

Sifirnya mudah, jika kita tidak mahu orang mengutuk dan mengata kita, kita jangan melakukan perkara sedemikian demi keharmonian sebuah persahabatan sejati hingga ke akhir nanti.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo