NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adib, Iktibar 200 Hari Pakatan



Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Kebetulan tepat 200 hari pemerintahan Pakatan Harapan pada 27 November lalu, satu tragedi berdarah telah meletus. Ia adalah insiden susulan sentimen yang dibakar secara tidak langsung oleh kenyataan tidak cermat dua orang ahli politik – seorang memberi kenyataan negatif berkenaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala seorang lagi menggunakan istilah serangan ‘kumpulan Islam’ – kedua-duanya berkenaan isu tapak kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya. Kedua-dua ahli politik berkenaan telah meminta maaf namun segala-galanya telah terlambat.

2. Pada malam 27 November itu – tepat 200 hari selepas Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ketujuh pada 10 Mei 2018 – para perusuh yang dibakar sentimen telah bertindak menyerang anggota pasukan penyelamat yang ironinya hadir bagi menyelamatkan gerombolan berkenaan daripada kebakaran kereta yang mereka sendiri cetuskan.
Insan mulia tersebut – Muhammad Adib Mohd Kassim – akhirnya pergi mengadap Ilahi selepas bertarung nyawa pada malam 17 Disember 2018.




3. Tragedi Adib ini sesungguhnya memberi pengajaran yang berat ke atas para pemimpin Pakatan khususnya tentang bagaimana seharusnya seorang Menteri dan EXCO bercakap dan bertindak dalam konteks negara-bangsa kita yang terdiri daripada latar pelbagai kaum dan agama.

4. Hakikatnya, pengajaran ini tidak hanya terpakai kepada kedua-dua ahli politik berkenaan semata-mata, sebaliknya juga kepada para pemimpin yang lebih berkuasa daripada mereka – berkuasa untuk melantik dan juga berkuasa untuk memecat mereka. Tentu sekali, komponen kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini adalah jauh berbeza berbanding parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dahulu.

5. Saat ini, Tun Mahathir memimpin sebuah kerajaan dengan empat parti yang masing-masing memiliki tuntutan yang tersendiri. Antara tuntutan yang paling penting tentulah tuntuan ke atas jawatan kanan dalam kabinet kerajaan yang dibentuk. Kekuatan tuntutan setiap parti pula tentulah bergantung pada jumlah kerusi yang dimiliki setiap parti berkenaan di parlimen khususnya Dewan Rakyat. Parti yang dipengerusikan Tun Mahathir iaitu Bersatu boleh dikatakan hanya memiliki sedikit pengaruh dalam pelantikan (dan juga pemecatan) jawatan utama Kabinet. Keadaan ini berbeza dengan senario satu parti dominan seperti UMNO dalam BN dahulu.

6. Selain daripada kuasa pelantikan, kuasa kawalan (langsung mahu pun tidak langsung) ke atas para menteri juga berbeza antara kerajaan Pakatan hari ini dengan BN dahulu. Setiap kenyataan menteri, setiap dasar yang dicadangkan menteri, setiap tindak-tanduk menteri – kini tidak lagi terarah (atau terpusat) di tangan Perdana Menteri yakni Tun Mahathir, sebaliknya terpusat pada kesetiaan parti masing-masing.

7. Menteri daripada parti DAP sebagai contoh, pastinya akan lebih mengutamakan ideologi parti, pegangan pimpinan tertinggi parti, dan juga sentimen para pengundi parti mereka. Maka dengan kedudukan yang dominan dalam parlimen – dengan jumlah 42 kerusi – tentulah kedudukan menteri mereka dalam kabinet kerajaan akan terjamin. Tidak kira betapa dahsyatnya desakan agar menteri yang tidak berprestasi sepanjang 200 hari ini agar berundur, kedudukan seseorang menteri itu tetap terjamin atas asas restu pimpinan parti dan juga saiz jumlah kerusi di parlimen.

8. Dalam konteks ini, tidak hairanlah apabila terdapat beberapa pihak yang memberi pandangan menyokong peristiwa ‘penghijrahan’ besar-besaran ahli parlimen UMNO ke parti Bersatu. Implikasi peristiwa lompat besar-besaran ini ke atas pola kuasa di parlimen khususnya Dewan Rakyat tidak boleh dipandang enteng. Begitu juga dengan implikasinya ke atas kuasa Tun Mahathir untuk memecat mana-mana menteri daripada parti yang lebih besar kerusinya di perlimen.

9. Kini Bersatu memiliki sekitar 19 kerusi dan ramai lagi ahli parlimen UMNO dikatakan akan ‘melompat’. Tentulah ramai yang berharap dengan ‘penghijrahan’ ini, Tun Mahathir akan bertambah kekuatan dan ‘berani’ untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memecat mereka yang selayaknya dipecat – apatah lagi dalam situasi prestasi kabinet Pakatan yang masih mengecewakan.

10. Sudahlah ekonomi negara masih tidak ke mana, berpuluh ribu peneroka FELDA masih tidak mendapat bantuan sara hidup, harga minyak bakal dinaikkan, kestabilan politik pula yang sibuk diganggu-gugat demi kepentingan sokongan parti dan kelompok tertentu.

11. Semoga tragedi Adib ini memberi pengajaran kepada kerajaan Pakatan yang telah berusia lebih 200 hari.

Al-Fatihah.


Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo