NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Semoga Cikgu Razi terus tabah:Solat hajat dan solidariti untuk Cikgu Razi.

Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik) menyeru agar semua pihak mendoakan agar Cikgu Razi dan ahli keluarganya terus tabah menempuh dugaan ..

Pendidik sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan salam simpati atas ujian yang menimpa Cikgu Ahmad Fakhrurazi Bin Suhaimi@Cikgu Razi baru-baru ini.

Beliau yang dahulunya merupakan warden asrama sebelum ini di SMK Pengkalan Berangan akan dibicarakan di Mahkamah Majistret Marang,Terengganu Darul Iman pada 19 November 2018 jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan merotan dan didakwa kononnya mencederaan pelajar yang tidak mematuhi peraturan asrama.

Justeru,diharap rakan -rakan guru yang berdekatan ,NGO Pendidikan ,warga pendidik yang prihatin ,pesara guru ,pihak PIBG serta insan yang simpati dan empati serta tokoh akademik yang berautoriti serta berkelapangan, dapat hadir beramai -ramai sebelum jam 9 pagi untuk bersolidariti bersama dan memberi sokongan moral terhadap Cikgu Razi di Mahkamah Majistret Marang Terengganu,Darul Iman. 

Kepada Cikgu Razi didoakan semoga terus tabah menempuh dugaan..dan tenang selalu.

Kami juga mendoakan agar Cikgu Razi dan semua warga pendidik di Malaysia sentiasa dalam rahmat lindungan kasih sayang Allah SWT dan terus diberikan kekuatan dalam menghadapi cabaran mendatang untuk mendidik anak bangsa dalam persada pendidikan negara.

Kami dari NGO Pendidik akan terus mendoakan agar segala urusan Cikgu Razi sekeluarga dipermudahkan oleh ALLAH SWT serta beroleh kebahagiaan di dunia dan di Akhirat.

Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) berharap agar pada masa akan datang pihak ibu bapa janganlah terburu -buru bertindak mengheret guru ke mahkamah dan sewenang-wenangnya mengugut guru tanpa pertimbangan peri kemanusiaan hanya kerana anak mereka didenda atau dihukum oleh guru .

Budaya bertolak ansur, bersikap pemaaf,tidak terburu -buru menerima berita yang dibawakan kepada anak dari sekolah serta niat mendidik anak menjadi insan berguna kepada agama,bangsa dan negara amatlah perlu ada dalam diri ibu bapa kerana dibimbangi keangkuhan kuasa ibu bapa yang cuba mengheret guru ke mahkamah dan bertindak menyaman guru yang dipertanggungjawabkan mendidik anak mereka cukup merugikan masa depan anak bangsa serta tidak menguntungkan mana -mana pihak.

Ibu bapa di luar sana juga diharap dapat menyelesaikan apa jua permasalahan antara guru dan pelajar atau rasa tidak puas hati melalui perantara yang berautoriti seperti PIBG ,guru besar atau pengetua dan pihak sekolah melalui penyelesaian secara bersemuka dan berbincang sebaiknya agar segala kekeruhan ,salah faham juga kekeliruan dapat dirungkai dengan suasana mahabbah,kasih sayang, dan secara harmoni demi memastikan martabat guru terus dihormati dalam persada pendidikan negara.

Tindakan saman dan budaya mengheret guru ke mahkamah bukanlah penyelesaian terbaik namun NGO Pendidik berharap Cikgu Razi dapat diadili dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang prejudis, kerana seseorang itu adalah tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah selari dengan apa yang termaktub dalam keluhuran Perlembagaan Negara.

Walaupun ada cara lebih baik iaitu permasalahan ini dirungkai dengan cara penyelesaian di luar mahkamah tanpa guru diheret dan berulang -alik ke mahkamah dalam proses perbicaraan yang panjang hingga ada masanya akan mengambil masa bertahun-tahun ,namun tanpa kerjasama ibu bapa untuk memahami buruk baiknya perkara ini maka segala usaha ini akan menjadi lebih sukar .

Masih belum terlambat untuk semua kes seperti ini ditarik balik dan tindakan saman serta budaya mengheret guru ke mahkamah oleh ibu bapa ini dihentikan .

Hakikatnya harapan seperti ini tidak seindah sebagaimana yang kita bayangkan .

Ini adalah kerana ,implikasi bila seseorang guru itu disaman ,walaupun belum dibuktikan bersalah namun seseorang guru itu biasanya terus akan diberikan surat oleh Lembaga Tatatertib dari KPM,digantung tugas, ditukarkan ke sekolah lain ,dinafikan hak menerima bonus tahunan semasa dan terpaksa berdepan dengan stigma negatif masyarakat ,liputan media media elektronik dan media bercetak yang berat sebelah dan lebih berunsur komersial juga lebih teruk lagi bakal dipulaukan oleh segelintir rakan seperguruan di tempat kerja serta kebarangkalian mengalami stress,murung dan dalam keadaan tekanan emosi yang tidak stabil jika kurang mendapat sokongan dari majikan dan keluarga serta faktor persekitaran yang kondusif.

Pendidik mengharapkan semoga Cikgu Razi terus kuat semangat dan tabah serta mengharapkan agar semua pihak terus mendoakan supaya guru muda ini terus tabah dalam meniti dunia perguruan di Malaysia yang semakin mencabar.

Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) akan terus memberikan sokongan moral dan pembelaan kepada kebajikan pendidik di seluruh Malaysia tanpa mengira idealogi politik atau sempadan perbezaan kaum kerana prinsip kami adalah tidak akan membiarkan seseorang guru itu dizalimi atau dianiaya tanpa dibuktikan sejauhmana pertuduhan dan dakwaan yang dilemparkan kepada individu guru yang terbabit .

Apa yang lebih malang lagi dibimbangi sebarang pertuduhan atau dakwaan terhadap warga pendidik ini biasanya akan menjejaskan maruah,integriti dan kredibiliti guru ini sepanjang tempoh perkhidmatan hinggalah tiba tempoh persaraan nanti di samping akan menyebabkan peofrsionalisme dunia perguruan di Malaysia akan terus dipandang rendah dan tidak dimartabatkan di sisi masyarakat Malaysia .

Situasi ini juga dibimbangi akan melahirkan generasi pelapis kepimpinan masa hadapan dan modal insan negara yang kurang memiliki akhlak dan sahsiah terpuji di samping tugas untuk membentuk generasi citra Malaysia yang memiliki jatidiri ampuh menangkis gejala sosial yang kian membarah akan menemui jalan buntu dan semakin sukar.

Ingin ditegaskan bahawa sokongan moral kami kepada warga pendidik adalah berasas dan memiliki hujah tersendiri serta alasan yang kukuh serta memiliki sebab dan bukti tertentu namun bukanlah secara sokongan moral membuta tuli tanpa ada pertimbangan tertentu dan alasan yang kuat .

Ini adalah kerana sebarang usaha untuk menzalimi warga pendidik di Malaysia tidak akan dibiarkan kerana sesungguhnya doa insan yang dizalimi tiada hijab di sisi ALLAH .Pasti doa insan yang dizalimi akan dimakbulkan sama ada cepat atau lambat.

"Teruskan berdoa" 

"Pray For Cikgu Razi"

Semoga Cikgu Razi sekeluarga tabah menempuh dugaan".


Salam hormat:

Puan Normala Binti Sudirman
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik)
15 November 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo