NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PTPTN vs Perbadanan Wakaf Pendidikan Tinggi



Oleh:NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok
22 November 2018 | 14 Rabi'ul Awwal 1440H

PTPTN: PERBADANAN WAKAF PENDIDIKAN TINGGI

1. Dalam perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 yang lalu, saya telah bangkitkan mengenai keperluan Kerajaan memperhalusi semula penyelesaian isu PTPTN. Ramai yang menyatakan kekecewaan disebabkan kegagalan kerajaan menepati janjinya dalam isu PTPTN. Lebih menyedihkan adalah ketetapan baru Kerajaan terhadap para peminjam PTPTN dilihat lebih keras berbanding kerajaan terdahulu.

2. Sebagai sebuah Kerajaan baru yang menjanjikan pentadbiran lebih berintegriti ke arah kesejahteraan rakyat, seharusnya Kerajaan bermula dengan memberi berita gembira dengan kerangka penyelesaian yang lebih menyeluruh, tuntas dan meyakinkan.

3. Malangnya, rakyat menerima berita buruk yang terpaksa sahaja ditelan. Kerajaan gagal mengemukakan solusi yang diharapkan. Ia jelas gagal memberi kelapangan yang lebih kepada para peminjam yang telah dihimpit dengan isu peluang pekerjaan yang sempit, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi.

4. Amat wajar bagi Kerajaan mempertimbangkan semula soal dasar pembayaran balik 2-15% bagi pendapatan melebihi RM1,000 sebulan. Nilai ini dilihat terlalu rendah dan tidak munasabah. Apakah ketetapan ini juga tidak dikaji sedalamnya, sama seperti janji manifesto bulan bintang Pakatan Harapan?

5. Tetapi itu sepatutnya hanyalah bersifat sementara. Lebih utama, saya menekankan perlunya penyelesaian sebenar yang akan memberi sinar harapan kepada generasi baru yang menuntut capaian pendidikan percuma untuk setiap rakyat.

6. Selama mana isu pendidikan dibelit dengan permasalahan bisnes dan pinjaman kewangan, selama itulah kita akan kehilangan nilai aset manusiawi yang luhur dan cemerlang. Dunia pendidikan akan berhadapan keciciran akibat kemiskinan dan belenggu belitan hutang di awal usia generasi muda.

7. Kerajaan seharusnya menilai cadangan pengenalan konsep tabungan wakaf. Perlu difahami bahawa konsep tabungan wakaf ini bukan bererti kita memberikan autonomi kepada universiti seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, tetapi tabungan ini masih di bawah tanggungjawab kerajaan untuk dapat dan salurkan kepada institusi pengajian.

8. Justeru cadangan ke arah penubuhan Perbadanan Wakaf Pendidikan Tinggi seharusnya diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan.

9. Saya ingin tegaskan bahawa masalah PTPTN tidak boleh hanya dilihat dari sisi pembayaran semula semata-mata tetapi turut memerlukan penyelesaian secara menyeluruh seperti yang dibangkitkan.

"Islam Memimpin"


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo