NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PTPTN: Dasar kerajaan ‘hambakan’ graduan perlu dimansuh



BANGI, 3 Rabiulawal 1440H, Ahad
– Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan untuk mengubah 'mentaliti', dan memansuhkan semua dasar yang tidak memacu potensi serta keupayaan graduan di negara ini.

Mengulas perkara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pengenalan Akta Pengajian Tinggi Swasta dan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bukan sahaja menghambakan golongan tersebut, malah menjadi bebanan kepada negara.

Katanya, daripada kerajaan menagih dan memeras secupak hutang daripada mereka, ia lebih menguntungkan jika kemampuan dimiliki golongan digembleng untuk pembangunan negara.

Beliau berkata, graduan seharusnya dilihat sebagai aset sekali gus dipersiapkan untuk menjadi pewaris pencorak kegemilangan masa depan negara.


"Bebaskan mereka dengan melupuskan hutang tersebut, serta perkasakan semula danasiswa dan biasiswa, seterusnya menuju kepada pendidikan percuma.

"Ini 'pelaburan' yang pasti tidak akan rugi, malah sejarah menyaksikan ketika Malaysia mula dibangunkan, seperempat Belanjawan tahunan negara diperuntukkan untuk bidang pendidikan. Tetapi setelah itu dikuncupkan oleh mentaliti kapitalis yang menjebaknya ke kancah industri liberalisasi pendidikan. Maka kayalah para kroni, yang melaratnya rakyat." katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeri katanya, amat penting 'kesungguhan politik' kerajaan Malaysia Baharu ini untuk memecah kebuntuan dan melenyapkan kesilapan lampau bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara.

"Kami bersungguh-sungguh menyeru kerajaan mewujudkan Perbadanan Wakaf Pendidikan Negara sebagai antara usaha menangani keperluan kewangan di sektor ini.

"Terbukti di beberapa universiti terkemuka dunia seperti Al-Azhar, Mesir dan Harvard, United Kingdom serta di Arab Saudi dan Amerika Syarikat yang mana berkemampuan memperoleh dana wakaf berjumlah ASD ratusan bilion setahun," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk berdialog, memberi pandangan dan mengemukakan kertas pelaksanaan yang lebih terperinci agar masalah dinyatakan dapat ditangani, seterusnya mengaplikasikan lontaran idea berkaitan.


Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/11/1dasar-kerajaan-hambakan-graduan-perlu-dimansuh/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo