NOTIS:
Percutian bajet dengan van lama
Nor 'Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my
SETIAP orang mempunyai cara tersendiri untuk beriadah bersama keluarga kerana itulah peluang mereka untuk 'menebus' kembali masa yang dikorbankan ketika sibuk dengan tuntutan kerja.
Ada yang gemar dengan konsep percutian mewah seperti mengembara ke luar negara kerana ingin merasai persekitaran berbeza terutama di negara empat musim.
Bagaimanapun, percutian bajet turut mampu memberikan pengalaman menarik sekiranya bijak mewarnakan pengisiannya.
Bagi lelaki ini, dia lebih selesa memilih percutian berkelah secara bergerak menggunakan van lama, Datsun C20 berusia 35 tahun yang diubah suai menjadi 'campervan'.
Ahmad Hariz Abd Hafiz, 32, sering membawa keluarganya berkelah dan sudah meneroka banyak lokasi menarik di Semenanjung Malaysia.
"Saya pernah menjelajah selama seminggu dan berkelah di Pantai Senok, Kelantan, Tasik Pedu di Kedah, Tasik Banding, Perak dan Empangan Timah Tasoh, Perlis.
"Malah saya mempunyai impian menjelajah ke luar negara menaiki van ini pada masa hadapan," katanya.
Katanya, trend berkelah atau bermalam menggunakan khemah sudah menjadi kebiasaan tetapi dia memilih 'campervan' kerana memudahkan pergerakan, lebih selesa dan boleh membawa kelengkapan memasak.
"Lagipun, kami suka bercuti sambil menghayati keindahan alam berbanding menginap di dalam hotel.
AHMAD Hariz berkelah menaiki 'campervan' dan menghayati keindahan malam di Tasik Banding, Perak.
"Campervan' ini membolehkan kami bebas bergerak ke mana saja dan ia menjimatkan kos khususnya bagi penginapan selain memberikan kepuasan serta membangkitkan 'mood' tersendiri," katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, idea mengubah suai dan menghasilkan 'campervan' tercetus apabila melihat contoh 'campervan' dari luar negara.
"Sejak kecil saya sudah tertarik dengan konsep 'motorhome' dan cuba merealisasikannya dengan membeli van lama yang diubah suai.
"Saya membelanjakan kira-kira RM2,000 untuk pengubahsuaian termasuk memasang sistem solar, kelengkapan lain antaranya bumbung tambahan sisi dan hiasan dalaman.
"Saya gunakan kenderaan ini untuk melakukan aktiviti bermanfaat bersama keluarga," katanya.
Tidak dinafikan kehadiran berkelah di satu-satu lokasi bersama keluarga menaiki 'campervan' sentiasa menarik perhatian orang ramai dan mereka menyatakan mempunyai impian yang sama sepertinya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/santai/2018/11/395829/percutian-bajet-dengan-van-lama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment