NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Negara Kita, Cara Kita – Syahir Sulaiman


“Celupan Allah (yakni Islam), dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?" (Al-Baqarah: 138)

Ada pemimpin DAP berkata, 55 negara OIC telah melaksanakan ICERD, termasuklah Arab Saudi, mengapa PAS membantahnya.

Dahulu ada pemimpin BN berkata, 160 negara telah melaksanakan GST, termasuklah Arab Saudi, mengapa PAS membantahnya.

Saya tidak mengatakan DAP dan BN adalah sama, namun cara fikir YB Lim Kit Siang dan YB Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal ini kelihatan serupa.

Saya ingin memberikan analogi mudah, sekiranya Barat banyak menggunakan ‘tomato’ dalam masakan mereka, tidaklah perlu kita memasukkan ‘tomato’ dalam sambal nasi lemak kita, dengan alasan kita perlu meniru mereka.

Sekalipun ‘tomato’ banyak khasiatnya, sambal nasi lemak kita sudah cukup khasiat dan kepedasannya, sesuai dengan citarasa dan kepelbagaian rempah di tempat kita. Justeru tidaklah perlu kita mudah meniru mereka.

Perlu difahami bahawa kita menentang ICERD bukan kerana peraturannya semata-mata, tetapi kita menentang pemikiran dan gerakan yang berselindung di sebaliknya.

Negara kita, cara kita, setiap tanah ada tuannya.

Terkini YAB Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD, menyerlahkan ketegasannya.

Sekali lagi, YAB Tun Dr Mahathir ‘dilihat’ senada dengan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam isu sensitif melibatkan kepentingan negara.

Sebelum ini YAB Perdana Menteri pernah sependapat dengan YB TGHH dalam isu pilihanraya PBT, kerana memahami isu sensitif melibatkan keharmonian negara.

Ketegasan YAB Perdana Menteri dalam hal ini berbeza dengan pendirian ‘lemah’ YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekadar mahu ratifikasi ICERD ditangguhkan, malah jauh berbeza dengan pendirian ‘berani’ YB Lim Kit Siang yang mahu ICERD diratifikasi sepenuhnya.

Kini semua pihak ternanti pendirian terbaru YB DSAI dan YB LKS, yang sebelum ini telah pun menzahirkan isi hati dan wajah sebenar mereka.

Kepada YB Menteri Luar dan YB Menteri Perpaduan, adalah wajar untuk kalian meletakkan jawatan secara terhormat, di atas tindakan yang telah menggugat keharmonian dan perpaduan sekalian rakyat Malaysia.

#NegaraKita
#CaraKita

Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
23 November 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo